Lanjut PKP, bantuan juga perlu ditambah lagi

Lanjut PKP, bantuan juga perlu ditambah lagi

Bekas Perdana Menteri Najib Razak menyindir kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini susulan pengumuman lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu.

“Ada sesiapa yang terkejut tadi apabila kerajaan PN umum ‘total lockdown’ (yang tak berapa total) telah dilanjut 2 minggu lagi?” katanya dalam catatan di Facebook.

Dalam satu lagi catatan kemudian, Najib menggesa kerajaan cepat mengagihkan bantuan kepada rakyat, di kala mereka bersedia menghadapi dua minggu lagi tempoh PKP penuh.

Beliau menyeru kerajaan melanjutkan skim i-Sinar dan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain menaikkan jumlah bantuan tunai yang diagihkan serta-merta.

“Arahkan bank-bank memberi moratorium pinjaman secara automatik tanpa faedah selama tiga bulan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan mengembalikan diskaun elektrik seperti tahun lalu.

“Suruh orang duduk rumah 24 jam sehari, mahu bil elektrik akhir bulan tak naik?” soalnya.

Selain itu, beliau menyarankan kerajaan memberi subsidi bagi minyak masak botol untuk meringankan beban rakyat semasa wabak.

“Jika mahu buat ‘total lockdown’, maka buatlah ‘total lockdown’. Fahamlah apa maksud sebenar ‘total’ atau ‘penuh’. Bukan buat ‘lockdown’ yang masih ada ‘traffic jam’ seperti sekarang,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen PKR Wong Chen berkata, kerajaan jelas gagal mengawal wabak walaupun sekatan penuh dan PKP dilaksanakan di Lembah Klang sejak awal Mei.

Ahli Parlimen Subang itu berkata, jumlah kes Covid-19 yang tidak menentu menunjukkan jangkitan harian dikaitkan dengan jumlah ujian dilakukan dan bukannya sekatan penuh berkesan.

“Setelah 11 hari sekatan penuh, dan Selangor dan KL berada bawah PKP sejak 3 Mei, datanya jelas: kerajaan PN telah gagal sepenuhnya dalam mengawal wabak dengan PKP,” katanya.

“Adakah kerajaan PN akan melaksanakan PKP penuh dengan betul? Bagaimana PKP penuh dilaksanakan apabila ribuan syarikat tidak perlu dikecualikan?

“Pengecualian ini adalah risiko kesihatan awam dan sangat tidak adil bagi majikan yang mematuhi PKP penuh dan menutup perniagaan mereka.

“Kini, majikan-majikan yang bertanggungjawab ini lebih terbeban dengan lanjutan PKP penuh,” katanya di Facebook.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/11/ada-yang-terkejut-najib-sindir-kerajaan-berhubung-lanjutan-pkp/