Ku Li beri amaran kepada BN, jangan terlalu yakin dengan keputusan PRN Melaka

Bekas Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya tidak terlalu yakin dengan kemenangan besarnya dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, selain menjangka pilihan raya umum (PRU) diadakan tidak lama lagi.

Veteran Umno itu berkata, parti terbabit tidak seharusnya “terpedaya” kerana ramai rakyat Melaka yang tidak keluar mengundi dengan hanya 326,068 undi dibuang atau 65.8% daripada pemilih berdaftar di negeri itu.

Ku Li berkata, pengundi lebih rela “tunggu dan lihat” menjelangnya PRU nanti yang dijangka diadakan tahun depan.

Ku Li mohon ubah kerusi, duduk di blok bebas - Utusan Digital

Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pengundi lebih rela ‘tunggu dan lihat’ menjelangnya PRU yang dijangka diadakan tahun depan.

“Saya tidak katakan Melaka akan mengadakan satu lagi pilihan raya (negeri) bersama dengan pilihan raya umum bagi Parlimen juga. Tetapi saya katakan bahawa mereka merasakan bahawa ini adalah pilihan raya kecil berbanding pilihan raya besar yang akan menggerakkan segalanya selepas PRU15.

“Tetapi ia adalah amaran jelas kepada semua, termasuk dalam Umno. Jangan terlalu yakin,” katanya dalam wawancara bersama FMT. Tengku Razaleigh menjadi Ahli Parlimen Gua Musang selama 11 penggal, sekali gus menjadikannya sebagai Ahli Parlimen paling lama di negara ini.

“Anda mungkin mempunyai sokongan kuat di beberapa bahagian di Melaka. Tetapi, begitu juga di peringkat persekutuan apabila anda mungkin berdepan kumpulan anti-BN, (sentimen) anti-Umno yang kuat berkembang yang akan memberi kejutan dan kekecewaan apabila tibanya PRU15.”

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Melaka yang memberikannya majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kemenangan besar itu mendorong Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan PRU lebih awal memandangkan pengundi dilihat menyebelahi BN.

Namun, Tengku Razaleigh berkata, BN menang dengan margin tipis di beberapa kerusi di Melaka dengan majoriti kurang daripada seribu, sambil memberi amaran pengundi mungkin tidak bersama dengan gabungan itu sekiranya ia gagal menunjukkan prestasi baik.

Beliau berkata, BN tidak boleh menganggap kemenangan besar di Melaka itu sebagai “undi percaya” pengundi terhadap parti itu sambil menjelaskan bahawa gabungan itu memperolehi kurang 40% daripada jumlah undi.

“Kita akan tersilap besar jika kita menganggap bahawa majoriti dua pertiga adalah “undi percaya” untuk parti. Saya fikir kita perlu bekerja keras dan berhati-hati.”

Menurutnya, Umno perlu melalui proses transformasi secara berterusan dan kepimpinan Umno diberi terlalu banyak kuasa.

Katanya, ini menyebabkan mereka terpisah daripada hakikat di peringkat akar umbi apabila pemimpin menjadi lebih elitis, yang akan menghakis sokongan terhadap Umno.

“Misalnya, satu resolusi (pada Perhimpunan Agung Tahunan) mengatakan anda akan memutuskan hubungan atau sebarang kerjasama dengan Bersatu. Selepas ia berakhir, Jemaah Menteri dipenuhi dengan mereka.

“Bagaimana anda boleh buat begitu? Adakah anda merasakan mereka di peringkat bawah tidak faham semua langkah ini? Anda tidak boleh menipu mereka. Jangan menghina kebijaksanaan mereka.”

BACA JUGA : Beritahu saya, siapa abang kawasan ini – Ayob Khan
Fenomena Matahari lenyap cetus kebimbangan ramai

CATEGORIES