Kos haji meningkat kerana inflasi dan Covid-19 – Timb Menteri

Oleh MHDAILY

Kos untuk menunaikan ibadah haji dijangka meningkat berikutan kadar inflasi serta perkembangan terkini peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi terutamanya yang berkaitan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata ia termasuk ujian Reverse Transcriptase – Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan suntikan vaksin untuk memasuki Arab Saudi, penjarakan fizikal di dalam bas, bilik penginapan serta khemah semasa menunaikan ibadah itu.

Bagaimanapun, katanya, Tabung Haji (TH) akan memaklumkan kos bagi musim haji 2022 apabila ia dimuktamadkan kelak.

SCROLL UNTUK ARTIKEL PENUH 👇🏻👇🏻👇🏻
SAMBUNGAN ARTIKEL 👇🏻👇🏻👇🏻

Kos haji meningkat kerana inflasi dan Covid-19 - Timb Menteri

“Lembaga Tabung Haji sedang menyemak kos haji yang terkesan akibat peraturan dan cukai baharu yang telah diperkenalkan Arab Saudi termasuk caj visa haji mulai 2020 dan kenaikan kadar cukai tambahan di negara berkenaan daripada lima ke 15 peratus yang bermula Julai tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) sama ada kos mengerjakan haji dan umrah akan meningkat dalam fasa endemik COVID-19 selain peningkatan kos yang dijangkakan.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata pada masa ini, bagi musim haji 1443H/2022, TH telah memulakan persediaan dengan perancangan utamanya adalah pemilihan bakal haji yang tertakluk kepada kuota rasmi Malaysia serta beberapa kriteria pemilihan lain yang akan diumumkan Arab Saudi.

Katanya, keutamaan menunaikan haji pada tahun depan akan diberi kepada mereka yang tahun giliran adalah pada 1441H/2020 dan masih tertangguh.

“Bagi bakal haji yang tahun giliran mereka adalah tahun ini, mereka akan turut diberi peluang pada 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya.

Antara persiapan TH bagi musim haji 1443H/2022 ialah mengadakan pasca penilaian (post-mortem) urusan ibadah haji tahun ini untuk memahami dengan lebih mendalam SOP dan protokol kesihatan Arab Saudi, menganjurkan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan bagi menyeragamkan hukum haji dalam suasana wabak, menganjurkan Kursus Asas Haji secara dalam talian dan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi urusan pemeriksaan kesihatan dan vaksinasi bakal haji ketetapan Arab Saudi.

TH juga sedang merangka lawatan ke Tanah Suci dalam masa terdekat untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan penjelasan terperinci berkaitan peraturan urusan haji dan persiapan musim haji 1443H/2022.

Ahmad Marzuk berkata demikian bagi menjawab soalan asal Rubiah mengenai persediaan kerajaan dalam urusan rakyat menunaikan haji dan umrah setelah hampir dua tahun negara tidak berpeluang menghantar jemaah ekoran COVID-19.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/parlimen-kos-haji-dijangka-meningkat-susulan-inflasi-dan-sop-covid19-ahmad-marzuk-320937

BACA JUGA : Panas !!! Mangsa dedah bukti mesej lucah dihantar individu dakwa Ebit Lew