Komen Presiden Pas adalah kurang wajar, kata pemimpin Umno

Komen Presiden Pas adalah kurang wajar, kata pemimpin Umno.Tanpa mengurangkan hormat kepada Presiden PAS, saya menganggap kenyataan beliau mengenai pendirian majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi sebagai kenyataan yang kurang wajar dikeluarkan oleh pimpinan parti lain.

Sepertimana tidak wajar saya mengajar PAS tentang hal dalaman PAS, saya berharap kepimpinan PAS juga menghormati “decorum” dalam hubungan antara parti dan mengelak dari membuat komen bagi pihak UMNO.

Sama ada majoriti ahli MKT menyokong atau tidak menyokong sesuatu perkara, menjadi rahsia dalaman mesyuarat yang tidak wajar diiklankan atau disahkan di luar. Yang penting ialah pendirian dan keputusan parti kelak.

Seperti mana-mana organisasi yang punyai struktur, setelah dimurnikan semua suara dalam badan pembuat keputusan, sesuatu pendirian rasmi dikeluarkan. Soal pandangan mana-mana individu yang dibincang atau dibahas dalam mesyuarat, itu soal dalaman organisasi yang tak perlu dispekulasi oleh pihak lain. Apatah lagi semua ahli MKT telah bersumpah rahsia sejak awal penggal lagi.

Tetapi dalam soal hubungan dalam MN yang dibangkitkan oleh Presiden PAS, untuk rekod, UMNO tidak sesekali menolak MN. Malah pendirian rasmi PAU 2020 juga menyebut keinginan memperkasa Muafakat Nasional. Cuma, ia perlu diselaraskan dengan suatu lagi pendirian rasmi bahawa parti menolak kerjasama dengan PPBM semasa PRU15.

Maka, apabila PAS bertegas mahu meneruskan jalinan kerjasama pilihanraya bersama Perikatan Nasional, maka ia meletakkan UMNO dalam keadaan sukar untuk merancakkan MN sepertimana dahulu – sehingga terpaksa ada pertembungan pelbagai penjuru apatah lagi jika PAS bertanding atas lambang PN seperti di PRN Melaka. Semua perkara ini telah diulas berkali-kali dan umum mengetahui dilema yang wujud disebabkan pendirian PAS.

Meskipun begitu, yang paling penting, UMNO menghormati pendirian PAS dan tidak memaksa PAS melakukan apa yang ia tidak mahu. Jadi, sebagai tanda keikhlasan persahabatan, harapnya PAS juga menghormati pendirian UMNO dan tidak memaksa kami atau menghebahkan spekulasi dengan harapan kami melakukan sesuatu yang sememangnya sukar – khususnya berkenaan hubungan bersama pihak ketiga.

Mungkin dengan penghormatan dua hala itu, barulah ada sinar untuk menyelamatkan sekurang-kurangnya sebahagian daripada kerjasama yang pernah mewarnai pentas politik penggal ini.
Wallahu’alam.

Sumber:

BACA:

Buaya cedera parah diselamatkan lelaki ini, akhirnya menjadi sahabat baik
Panas !!! Empat menteri kabinet bakal di gugurkan ?
Empangan Pergau sering disalahkan setiap kali banjir melanda Kelantan, ini fakta yang perlu diketahui

CATEGORIES