‘KK Skybridge’ terus jadi bahan kritikan dan jenaka warganet, ini puncanya

Jejantas berhawa dingin “KK Skybridge” yang menghubungkan Asia City, Pusat Komersial Api-Api, Warisan Square dan Oceanus Mall di sini, dibuka secara rasmi baru-baru ini.

Bagaimanapun projek yang dikatakan bernilai RM31.5 juta itu menjadi bahan ketawa dan kecaman warganet apabila jejantas mewah berkenaan tidak menghubungkan Center Point Sabah, iaitu antara kompleks membeli-belah yang tertua di Kota Kinabalu.

Jejantas berkenaan yang menghubungkan beberapa kawasan itu dilihat berakhir betul-betul berhampiran Center Point Sabah tanpa sebarang pintu masuk.

KK Skybridge terus jadi bahan kritikan dan jenaka warganet, ini puncanya

Jejantas yang menghubungkan beberapa kawasan di Kota Kinabalu dilihat berakhir betul-betul berhampiran Center Point tanpa sebarang pintu masuk. (Gambar Facebook)

Seorang pengguna di Facebook yang menggunakan nama akaun Tiffanyca Fanny Sebastian dalam hantarannya berkata: “Jalan-jalan sajalah dari hujung ke hujung, mau masuk CP (Center Point) turun tangga lepas itu lintas jalan raya lagi, tiada gunanya jejantas itu”.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Othman Hj Rawi turut membuat hantaran berbentuk gurauan: “Apabila mahu masuk ke Center Point, kena baca ini mantera yang P Ramlee baca ‘yat ngiiiseenn mata kajiii semer tilemmmm’, ‘brigde’ ini hanya untuk laluan pejalan kaki dari Asia City ke Api-Api dan Oceanus saja. Bukan ada pintu masuk CP…kena turun tangga semula”.

Seorang lagi pengguna Facebook, Farit Budiman turut membuat hantaran pendek mengenai KK Skybridge: “Mau pergi CP eh kena ‘prank’”.

Dalam pada itu, Naib Presiden SAPP Gee Tien Siong dalam satu kenyataan berkata, reka bentuk KK Skybridge berkenaan tidak termasuk pusat membeli-belah Center Point Sabah.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab untuk pembinaan hubungan antara jejantas itu dengan Center Point Sabah adalah pusat beli-belah itu sendiri.

“KK Skybridge yang berhawa dingin dilengkapi dengan eskalator, lif OKU dan 20 kiosk telah siap sesuai dengan rancangan asal, yang menghubungkan Asia City, Pusat Komersial Api-Api, Warisan Square dan Oceanus Mall.

“Bagaimanapun reka bentuk KK Skybridge ini tidak termasuk pusat membeli-belah Center Point Sabah, tetapi merekalah bertanggungjawab untuk pembinaan hubungan antara Skybridge dan pusat beli-belahnya, yang diharapkan dapat dilakukan selepas PKP dan pada masa ini, pagar telah dipasang di persimpangan berkenaan untuk memastikan keselamatan pengguna,” katanya.

Gee berkata, terdapat beberapa individu berniat jahat yang menyebarkan khabar angin untuk memperlekehkan kemudahan yang sukar diperoleh itu hanya kerana masih belum ada tangga yang dibina di persimpangan.

“Perjalanan untuk merealisasikan ‘skybridge’ ini telah mengalami banyak liku-liku.

“Walaupun semasa PH ketika Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Menteri Kewangan Persekutuan, Ketua Menteri Sabah, ADUN Api-Api merangkap Timbalan Ketua Menteri semuanya berasal dari gabungan yang sama gagal memberikan skybridge untuk kegunaan awam,” katanya.

KK Skybridge berkenaan merangkumi laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 400 meter menghubungkan beberapa pusat beli belah di tengah bandar raya dan akan dibuka kepada orang awam bermula esok.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/08/kk-skybridge-jadi-bahan-jenaka-warganet-sapp-beri-penjelasan/

BACA JUGA : Umno hanya akan bertanding guna lambang dacing – MB Johor