Kita masih fasa 1 dan tak tahu bila akan masuk fasa 2

Kita masih fasa 1 dan tak tahu bila akan masuk fasa 2

Peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak bergantung kepada satu-satu tarikh, sebaliknya ditentukan berdasarkan tiga indikator nilai ambang utama yang ditetapkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Fasa Satu PPN ketika ini masih berjalan memandangkan tiga indikator nilai ambang utama belum dicapai.

“Masih ramai keliru dan menganggap kita telah beralih ke fasa dua. Perlu ditegaskan bahawa kita masih berada dalam fasa satu. Peralihan fasa dalam PPN tidak bergantung kepada satu-satu tarikh. Jika kita sudah mencapai tiga nilai ambang dalam tempoh singkat, maka peralihan fasa seterusnya akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Justeru, saya berharap kita bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi melandaikan lengkuk kes COVID-19,sekali gus membolehkan ketiga-tiga indikator itu dicapai dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan negeri tidak boleh longgarkan SOP - Ismail Sabri | Astro Awani

Ismail Sabri

Tiga indikator adalah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin sebelum ini memaklumkan peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua dibuat selepas purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes, sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal dan 10 peratus populasi sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, 600 lagi individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), dengan 592 individu dikompaun manakala lapan lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis, sebanyak 136, tiada penjarakan fizikal (125), Rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (104), tidak memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (70), membawa penumpang berlebihan (30),premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain, 27,” katanya.

Mengenai pemantauan dan penguatkuasaan SOP COVID-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan semalam, beliau berkata hanya satu premis diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan SOP daripada 1,867 pemeriksaan dijalankan ke atas kilang dan 11,316 premis perniagaan.

Bagi Op Benteng, 25 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan enam kenderaan darat dirampas semalam.

“Dalam operasi itu, sebanyak 114 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/834042/masih-lagi-dalam-fasa-1

BACA JUGA : ‘Duit Pelincir’ elak dikompaun langgar SOP, 3 polis ditahan SPRM