Khairy terus desak adakan pemilihan Umno sekarang

Khairy terus desak adakan pemilihan Umno sekarang

UMNO perlu mengadakan pemilihan parti sekarang, gesa Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, penyebaran audio yang didakwa mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuatkan ahli parti berasa kurang selesa.

“Ramai orang dalam parti tidak selesa dengan perbualan telefon kononnya melibatkan Presiden parti (UMNO) dan Anwar. Saya fikir jawatan Datuk Seri Zahid kini semakin tidak boleh dipertahankan lagi.

“MKT (Majlis Kerja Tertinggi) perlu berjumpa segera dan membenarkan pemilihan parti diadakan segera. Setahu saya, jawatan beliau (Ahmad Zahid) tidak boleh dipertahankan lagi.

“Cara terbaik untuk bergerak ke hadapan adalah dengan mengadakan pemilihan parti. Sekarang!” tegas beliau lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program pelancaran 2021 CHAMPS-NASOM Autism Awareness di sini pada Jumaat.

Nama Ahmad Zahid menjadi tumpuan baru-baru ini selepas rakaman audio perbualan yang didakwa mirip suara beliau dengan Anwar tular di media sosial.

Melalui audio berdurasi 4 minit 17 saat di akaun Facebook Insider Malaysia, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menerusi panggilan telefon.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin tegaskan tiada sebarang perbualan saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020).

Rakaman Audio Tular | Zahid Hamidi perlu lafaz sumpah di masjid

“Ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Saya percaya lebih banyak permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,” kata Ahmad Zahid dalam reaksinya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/rakaman-audio-adakan-pemilihan-parti-sekarang-khairy-292502