Ketua Menteri minta kerajaan persekutuan umum nama sekolah yang ditutup di Pulau Pinang

Ketua Menteri minta kerajaan persekutuan umum nama sekolah yang ditutup di Pulau Pinang

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini menggesa kerajaan persekutuan mendedahkan senarai sekolah yang ditutup kerana jangkitan Covid-19.

Senarai tersebut juga perlu sentiasa dikemas kini demi kepentingan ibu bapa dan pelajar, kata beliau ketika diminta mengesahkan berita bahawa beberapa sekolah di Pulau Pinang ditutup kerana cetusan jangkitan.

Kata Chow, beliau tidak mendapat makluman rasmi berkenaan mana-mana sekolah di Pulau Pinang ditutup sementara kerana Covid-19.

Keputusan menutup sekolah terletak pada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan berdasarkan analisis risiko, tambah beliau.

“Tetapi kami dapat banyak soalan daripada ibu bapa yang risau, yang terfikir sama ada sekolah (anak) mereka mengalami jangkitan dan akan ditutup.

“Saya rasa senarai sekolah (yang terlibat) perlu didedahkan kepada umum, supaya ibu bapa boleh membuat keputusan sama ada ingin menghantar anak mereka ke sekolah atau tidak.

“Setakat yang kita tahu, sembilan daripada 10 kluster aktif di negeri ini membabitkan kilang, manakala satu lagi melibatkan pusat tahanan,” katanya selepas menghadiri satu acara di Komtar hari ini.

Baru-baru ini, 19 sekolah di daerah Petaling di Selangor diarahkan tutup akibat beberapa kluster baharu Covid-19.

Chow menghadiri acara pemeteraian perjanjian antara Universiti Sains Malaysia (USM), Angkasa X Innovation Sdn Bhd dan syarikat milik kerajaan negeri, Digital Penang.

Angkasa-X dan USM akan bekerjasama untuk menawarkan kursus profesional dalam bidang kejuruteraan satelit, sementara Digital Penang akan memasarkan dan mempromosikan kursus ini kepada calon pelajar dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/20/dedahkan-nama-sekolah-ditutup-kerana-covid-19-kata-ketua-menteri-p-pinang/