Kes terus melonjak ketika total lockdown

Kes terus melonjak ketika total lockdown

Kes terus melonjak ketika total lockdown.  Kes jangkitan harian Covid-19 semakin menakutkan apabila jumlahnya me­lonjak kepada 8,868 kes semalam berbanding 7,097 kes kelmarin ketika rakyat sedang melalui tempoh pelaksanaan total lockdown terutama di Selangor dan Kuala Lumpur.

Jumlah itu adalah rekod kes kedua tertinggi pernah dicatatkan di negara ini selepas 9,020 kes dilaporkan pada 29 Mei lalu.

Semalam, Selangor terus me­rekodkan jumlah kes paling tinggi iaitu 4,152, diikuti Kuala Lumpur (1,133) dan Negeri Sembilan (897).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keba­nyakan hospital dan pusat kua­rantin kini semakin padat dengan penambahan bilangan pesakit Covid-19.

Kes

Katanya, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Be­risiko Rendah Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) 2.0 menerima kira-kira 800 pesakit sehari dengan purata 200 pesakit kategori empat yang memerlukan oksigen.

“Daripada keseluruhan 5,198 katil yang disediakan di MAEPS 2.0, sebanyak 154 katil khas untuk pesakit kategori empat te­lah melepasi kapasiti penggunaan maksimum,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut mendedahkan baki katil yang disediakan bagi pesakit kategori satu, dua dan tiga di pusat tersebut juga hampir digunakan sepenuhnya.

“Pihak kami sedang menilai semula strategi sedia ada bagi me­ningkatkan kesiapsiagaan hospital di Lembah Klang dan PKRC MAEPS 2.0 untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 khususnya kategori empat dan lima yang semakin meningkat.

“Antaranya adalah penubuhan hospital medan dengan kapasiti 50 katil tambahan menerusi kerjasama Angkatan Tentera Malaysia di Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya.

BEBERAPA pesakit terpaksa ditempatkan di luar wad kecemasan HTAR di Klang baru-baru ini selepas hospital itu menerima bilangan pesakit yang semakin ramai.
Dr. Adham berkata, langkah sete­rusnya ialah penyediaan 60 katil dan peralatan tambahan wad di HTAR yang dianggarkan berjumlah RM1.1 juta bagi meningkatkan lagi keupayaan hospital itu untuk menerima pesakit Covid-19.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memperluaskan kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur untuk menerima dan merawat pesakit Covid-19 ka­tegori tiga dan empat.

“KKM juga akan melaksanakan segera penugasan semula lebih 110 petugas kesihatan yang terdiri daripada lebih 75 pegawai perubatan, anggota paramedik dan pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu.

“Selain itu, penambahan segera 1,550 silinder oksigen di PKRC MAEPS 2.0 serta membuat perolehan oxygen concentrator sebanyak 300 unit dan perolehan bekalan oksigen daripada lebih satu pembekal,” ujarnya.

Katanya, KKM juga akan meng­operasikan semula Institut Latihan KKM (ILKKM) di Sungai Buloh yang mempunyai keupayaan maksimum sebanyak 2,400 katil.

“Pengoperasian ILKKM ini membolehkan KKM menempatkan pesakit kategori satu dan dua agar PKRC MAEPS 2.0 dapat memberi tumpuan kepada rawatan dan pemulihan pesakit ka­tegori tiga dan empat,” katanya.

Adham memaklumkan, antara langkah lain yang telah diambil termasuklah penambahan 20 buah katil unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Ampang serta lapan katil ICU dan 45 katil wad tambahan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan pesakit Covid-19 kategori empat dan lima dipindahkan dari PKRC MAEPS 2.0 ke hospital sebagai usaha untuk merawat dan menyelamatkan nyawa mereka.

Kategori satu ialah pesakit yang tidak bergejala, kategori dua (gejala ringan), kategori tiga (pesakit dengan radang paru-paru), kategori empat (memerlukan oksigen) dan kategori lima (kritikal dan perlu bantuan pernafasan).

Kosmo! kelmarin melaporkan, peningkatan kes harian di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan melebihi kapasiti maksimum hospital akan melumpuhkan sistem kesihatan negeri sekiranya berterusan.

Sehingga kini, keempat-empat negeri terbabit melaporkan pe­ningkatan kes iaitu bersamaan lebih 38 kes harian baharu bagi setiap 100,000 penduduk

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/07/09/kes-melonjak-ketika-total-lockdown/

Kalau Anda Terlepas: Gempar !!! Portal dedah audio mesyuarat MKT Umno