5 kes positif Covid-19 berjaya dikesan libatkan pelancong ke Langkawi. Lima kes positif Covid-19 dikesan selepas saringan dijalankan melalui ujian RTK-Ag melibatkan individu yang ingin masuk ke Pulau Langkawi, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes positif yang dikesan merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala dan telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari.
Menurutnya, pengesanan kes melalui ujian RTK-Ag melibatkan 2,528 orang manakala enam individu menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum ke lapangan terbang dan kesemua keputusan adalah negatif.
BACA JUGA : Lelaki dakwa dirinya kebal bisa ular akhirnya mati dipatuk ular
“Baki 12 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sehingga pukul 12 tengah hari, seramai 2,546 orang disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi melibatkan 1,250 orang di empat pintu masuk lapangan terbang dan 1,296 orang melalui jeti feri di Kuala Perlis.
Katanya, seperti ditekankan sebelum ini, kejayaan Projek Rintis Langkawi sebagai gelembung pelancongan domestik pertama ini sangat penting dalam menentukan hala tuju pembukaan destinasi gelembung pelancongan domestik yang seterusnya.
BACA JUGA : Wanita sanggup berhabis RM14,000 semata-mata mahu tahu kenapa kucingnya selalu lapar
“Projek rintis ini perlu dilaksanakan dengan berhati-hati bagi memastikan ia berjalan lancar dan tidak menyebabkan berlakunya peningkatan kes serta kluster baharu.
“Atas sebab itu, kerajaan perlu memastikan setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi telah menerima vaksinasi lengkap, bukan merupakan kes positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif,” ujarnya.
Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/09/16/lima-kes-covid-19-dikesan-sebelum-ke-langkawi/