Kes makin meningkat, orang ramai luah kebimbangan

Kes makin meningkat, orang ramai luah kebimbangan

Pengguna media sosial mula menyuarakan kebimbangan apabila mendapati jumlah kes positif Covid-19 kekal lebih 6,000 kes sehari selama tiga hari berturut-turut walaupun sudah berkurung di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pada 29 Jun lalu jumlah kes positif Covid-19 mencatatkan sebanyak 6,427 kes manakala sebanyak 6,276 kes dilaporkan semalam namun angka itu meningkat menjadi 6,988 kes menjelang hari ini sehingga menimbulkan pertanyaan dalam kalangan pengguna media sosial.

Tinjauan di laman sosial Facebook mendapati, selain desakan menutup sektor perkilangan buat sementara dengan tanda pagar #tutupkilang dan membuang Selangor daripada peta Malaysia, pengguna Facebook turut mempersoalkan arahan tinggal di rumah yang dirasakan sudah terlalu lama.

“Kenapa buat kerja sia-sia? Bila PKP mahu tamat. Ini ibarat mencurah air ke daun keladi. Kenapa tidak buat ‘lockdown’ macam yang pertama dulu? Dua minggu sudah cukup jika ia dilakukan secara menyeluruh,” soal seorang pengguna di laman Facebook.

Tangkap layar komen pengguna sosial media Facebook berhubung jumlah kes positif Covid-19 yang dilihat semakin meningkat.

Seorang pengguna Facebook yang bimbang akan peningkatan kes positif tersebut turut mengutarakan beberapa pandangan kepada pihak kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di seluruh negara.

“Sudah sampai masanya negeri-negeri yang mempunyai kes positif Covid-19 yang tinggi seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengadakan sidang akhbar bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mereka kena laporkan secara langsung apa sebab berlaku peningkatan ini dan apa tindakan mereka setiap hari agar dapat difahami oleh rakyat,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna turut meluahkan perasaan di laman Facebook dengan menyifatkan PKP yang sedang dikuatkuasakan ini seperti tiada berpenghujung dan sudah tidak tahan duduk di rumah lagi.

“Sampai bila PKP akan diteruskan? Kami sudah penat patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) namun kes masih tinggi, kami perlu keluar mencari duit. Adakah nak teruskan PKP sampai bila-bila?,” katanya disertai dengan tanda pagar PKPtilljannah.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/01/rakyat-panik-kes-covid-19-terus-meningkat/

BACA JUGA : Makin teruk !!! Kes harian Covid-19 hampiri angka 7,000