Kes Covid-19 di Kelantan masih dalam keadaan terkawal, kata Mohd Amar

Meskipun masih berada dalam keadaan terkawal, namun kerajaan negeri bersedia jika berlaku sebarang kemungkinan Kelantan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sehingga kini jumlah jangkitan Covid-19 di negeri ini masih stabil walaupun wujud kluster-kluster baharu di beberapa daerah.

Menurutnya, sebarang keputusan melibatkan pelaksanaan PKP tersebut akan dibincangkan bersama Majlis Keselamtan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

“Setakat ini, walaupun masih tiga angka, tapi tidak naik terlalu tinggi. Jadi untuk sebarang keputusan lanjut kita kena berpandukan kepada apa yang diputuskan MKN dan JKNK.

“Keputusan-keputusan ini kita ambil apabila ada pandangan dari JKNK. Pada pandangan peribadi saya sendiri, (jumlah jangkitan) Selangor memang sudah diluar kawalan.

“Kita bukan nak tunggu keadaan makin teruk baharu boleh buat PKP penuh, tapi semuanya atas cadangan dan nasihat lanjut dari pihak MKN dan JKNK,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kebanyakkan rakyat keliru dengan keputusan pelaksanaan PKP dan sebagainya kerana ia sebenarnya dibuat berdasarkan nasihat dan perbincangan dengan dua agensi berkenaan.

Malah jelasnya, setiap keputusan yang dilakukan mempunyai prosedur tertentu dan walaupun ia agak ‘berat’, namun ia sudah dibincangkan melibatkan kerjasama beberapa agensi dan peringkat.

“Memanglah setiap kali mesyuarat, kita akan bawa pandangan dan cadangan kita. Selebihnya, JKNK yang akan tentukan sebab mereka lebih mengetahui baik buruknya. Itu yang kita kena faham.

“Dalam keadaan darurat sekarang ini, kita hanya sebagai pelaksana sahaja sebab bila darurat, kerajaan negeri boleh dianggap hilang kuasa sepenuhnya. Perkara ini yang perlu kita semua faham,” katanya.

Ketika ditanya mengenai nasib peniaga ditepi jalan yang masih tidak dibenarkan berniaga, Mohd Amar berkata, perkara tersebut perlu dilihat pada keadaan semasa yang dikeluarkan MKN.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/139267/EDISI/Kelantan-sedia-laksanakan-PKP-penuh-jika-perlu