Kes cop borang rentas negeri yang kosong berulang lagi, kali ini di Shah Alam

BEBERAPA hari lalu panas di laman sosial pendedahan seorang individu mengenai borang rentas negeri kosong dengan tandatangan ketua balai polis.

Belum pun reda kisah kejadian di Chukai, Kemaman, Terengganu kini muncul pula kes yang hampir sama di Selangor.

Berikutan tular sekeping borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Penolong Ketua Balai Polis Seksyen 6 sejak petang semalam, polis Daerah Shah Alam bertindak membuka kertas siasatan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Embol dalam kenyataan memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Hari ini (semalam) tular borang rentas negeri Balai Polis Seksyen 6 dengan tandatangan dan bercop Penolong Ketua Balai berkenaan dengan tulisan “Thank you tolong kali kedua, xyah bratur panjang2. Ad cable dahh mudoh basoe sney kiro”.

“Siasatan awal mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Penolong Ketua Balai, Sarjan Mejar Mohd Fadzli Ali.

“Justeru, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 243 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

Perkara yang anda perlu tahu jika ingin rentas negeri

Terdahulu, media melaporkan borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Ketua Balai Polis Chukai, Kemaman Terengganu tular di laman sosial.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanyan Ramlan, menafikan wujud prosedur operasi standard (SOP) baharu kononnya borang rentas negeri diluluskan dengan tandatangan pegawai polis terlebih dulu sebelum pemohon mengisi borang berkenaan.

Selain itu, Hanyan memaklumkan siasatan awal mendapati tandatangan milik Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang berkenaan dipalsukan.

Penularan surat kebenaran itu kali ini dilihat lagi menambah kemarahan warganet yang berang dengan tindakan itu yang didakwa ia sebagai perbuatan pecah amanah.

Ada yang kecewa dengan menyatakan kerisauan permohonan merentas negeri selepas ini menjadi semakin ketat dan menyusahkan jika terdapat kecemasan.

Terdahulu, PDRM mengumumkan akan memperketatkan semua pemeriksaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi memastikan tiada yang terlepas pulang ke kampung halaman bagi menyambut Ramadan.

Jadi, jika benar korang ada urusan kerja atau kes kecemasan yang memerlukan merentas negeri, gunakanlah saluran betul dengan mendapatkan kelulusan Kementerian PerdaganganAntarabangsa dan Industri (MITI) dan polis.

Berita penuh : https://sinarplus.sinarharian.com.my/fyi/lagi-kes-borang-rentas-negeri-dengan-cop-ketua-balai/?

COMMENTS

Wordpress (0)