Kerusi Rembau: KJ terpaksa redha disuruh beri laluan kepada Tok Mat

Kerusi Rembau KJ terpaksa redha disuruh beri laluan kepada Tok Mat

Kerusi Rembau: KJ terpaksa redha disuruh beri laluan kepada Tok Mat. Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengesahkan tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandangnya sejak 2004.

Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau.

“Dia (Mohamad) dah maklum untuk saya pergi ke tempat lain. Oleh kerana beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau dan saya timbalannya, jadi beliau minta saya cari tempat lain sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau.

“Saya tidak ada halangan sebab beliau Ketua Bahagian dan dia telah minta saya beri laluan kepada dia. Jadi, saya kena beri laluanlah,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.

Kerusi Rembau KJ terpaksa redha disuruh beri laluan kepada Tok Mat

Semalam, media melaporkan Mohamad mengumumkan hasrat untuk bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15 dan pada masa sama, akan mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, bagaimanapun enggan mendedahkan kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya nanti.

Sementara itu, mengenai kawasan Parlimen yang bakal ditandingi pada PRU-15, Khairy tidak mengetahui kerusi mana yang bakal diwakilinya kerana tidak pernah menjangka perlu keluar dari Rembau.

“Buat apa saya fikir bertanding di tempat lain sedangkan saya dah 15 tahun di Rembau. Apabila diberitahu untuk keluar dan minta saya cari tempat lain, maka saya pun kenalah berusaha jika ada kawasan lain nak terima saya.

“Nak ke tempat lain pun saya rasa malu juga nak pergi ceroboh kawasan orang lain, sebab politik UMNO ini kita bertanding di kawasan kita, di kawasan mana kita jadi ahli, dah berkhidmat, berjasa di kawasan itu.

“Apa pun, sebagai orang parti, orang tahu kesetiaan saya. Saya tak pernah lompat parti, saya UMNO, maka saya ikutlah arahan pucuk pimpinan parti.

“Kalau pucuk pimpinan minta saya bertanding di kawasan ini, saya terima. Kalau dia kata jangan bertanding pun saya kena terima sebab saya orang parti. Saya ok,” katanya.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu juga memaklumkan sedang merisik dengan rakannya jika ada kerusi yang boleh ditawarkan untuknya, namun ia tertakluk pada arahan pucuk pimpinan parti.

“Saya tak pernah buat persiapan untuk pergi ke kawasan lain. Buat apa saya kacau tempat orang lain? Saya dah tiga penggal di Rembau.

“Tetapi tak apalah, dia (Mohamad) nak bertanding DUN, nak bertanding Parlimen juga, kita bagi laluan kepada dialah. Dia nak bertanding semua,” katanya.

BACA:

Kerajaan lulus pandu uji kereta terbang ini, nilai hampir RM1 Juta

Kenduri jemput sampai satu negeri datang!

Usaha Jep tak nak sentuh dengan Siti Saleha di live TV jadi perhatian

CATEGORIES