Kerjasama dengan Umno perlu dibawa dalam Majlis Presiden PH

Sebarang kerjasama yang mahu diwujudkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersama UMNO perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sehingga kini perkara tersebut belum ditimbulkan oleh PKR.

“Itu (kerjasama PKR dan UMNO) belum timbul lagi sebab kalau ada, kena bincang dan dilaporkan di Majlis Presiden PH,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program bual bicara Minda TV: Bicara Tokoh ‘Malaysia: Di mana & ke Mana Kita’ anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) pada Selasa.

Ditanya mengenai rakaman audio tular yang didakwa perbualan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, DAP berpegang kepada prinsip kepercayaan.

“Anwar sudah nafi secara terbuka dan kita terima jawapan itu dengan prinsip kepercayaan terhadap Anwar,” katanya.

Pada masa sama beliau menekankan, DAP secara jelas telah menyatakan prinsip berhubung isu kerjasama pihak lain dalam PH yang menggariskan syarat tertentu.

“Kita tidak boleh memasukkan pemimpin kleptokrat, yang disabitkan kesalahan dari segi rasuah dan sebagainya.

“Ada garis merah di situ dan saya cukup yakin ia difahami oleh Anwar,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan bahawa PH dan UMNO mampu memperoleh separuh daripada kerusi majoriti jika bekerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, beliau berkata, ia tidak semudah yang dijangkakan kerana sejauh mana penerimaan penyokong dan pengundi adalah menjadi persoalannya.

“DAP telah memutuskan kita tidak ada kerjasama dengan UMNO pada PRU15. Begitu juga UMNO kata ‘No DAP’. Kita kembalikan mandat kepada rakyat.

“Yang paling ideal bagi PH di bawah pimpinan Anwar, kita boleh membentuk kerajaan. Namun jika tidak cukup kerusi untuk membentuk kerajaan, kena lihat keputusan PRU15 sama ada, ada ruang untuk kerjasama,” katanya.
Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/133388/BERITA/Politik/Kerjasama-PKR-UMNO-perlu-dibincang-dalam-Majlis-Presiden-PH-DAP

COMMENTS

Wordpress (0)