Kerana mahu berjimat lelaki ini hampir ke tali gantung….

Anak jati Pulau Pinang, Beh Chew Boo, menjadi tajuk berita baru-baru ini apabila terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan Singapura membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah.

Peguamnya Wong Siew Hong berkata, kes Beh adalah yang pertama di Singapura di mana seseorang sudah dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah dibebaskan atas rayuan.

Seolah-olah masih tidak percaya rayuannya sudah berakhir, Beh bersetuju untuk ditemubual melalui telefon oleh FMT, di mana dia mengimbas hari ditahan bersama dadah, sehingga dipenjara di Singapura dan menanti pelaksanaan hukuman mati.

“Hari pada bulan Oktober itu adalah hari paling panjang dalam hidup saya, dan tempoh 53 bulan di penjara itu merubah segalanya,” kata Beh, dari Sungai Acheh, Nibong Tebal.

Beh menceritakan bagaimana dia selalu mendapat wang belanja dengan melakukan pekerjaan rencam yang jarang dilakukan orang lain selepas berhenti sekolah ketika berusia 13 tahun.

Pada 2014, dia berpindah ke Johor Bahru dan mendapat pekerjaan sebagai pemandu, mengangkut hasil segar menyeberang tambak dan ada ketika menjual durian di Singapura.

Kemudian, dia mendapat pekerjaan dengan gaji lebih baik sebagai pengangkut barang dengan sebuah syarikat Singapura yang cukup dikenali. Pada usia 34 tahun, dia pernah tinggal di Skudai, berulang-alik setiap hari ke tempat kerja dan hidup dengan berjimat-cermat. Seingatnya, ketika itu kehidupannya adalah baik.

Sekitar Oktober 2016, Beh dan teman wanitanya yang berusia 33 tahun merancang ke Singapura. Dia juga merancang untuk bertemu seorang rakan dan memulangkan “power bank” yang dipinjamnya beberapa hari sebelum itu.

Oleh kerana motosikalnya rosak, pasangan berkenaan menaiki kereta, memandu dari Skudai ke rumah rakannya di Johor Bahru.

Bagi menjimatkan kos, Beh meletakkan keretanya dan meminjam motosikal rakan untuk ke Singapura. Beh masih ingat betapa gembiranya ketika itu kerana dapat berjimat membayar tol dan hanya perlu mengeluarkan SGD4 berbanding SGD35 jika menaiki kereta.

Dia menyeberang tambak dan berhenti untuk pemeriksaan Kastam Singapura, bagaimanapun, keadaan bertukar buruk apabila pegawai yang bertugas menemui hampir 500g dadah jenis syabu dalam bentuk kristal yang disusun dalam empat bungkusan kecil.

Nilai dadah itu dianggarkan SGD89,000. Terkejut dengan penemuan itu, Beh dan teman wanitanya menafikan mengetahuinya.

Beh bagaimanapun ditahan polis dan dipenjara selama lebih empat tahun kerana kesalahan itu.

Dia dijatuhi hukuman mati, manakala kekasihnya, yang ditahan reman selama lebih setahun akhirnya dibebaskan.

Pada 2017, Beh mengetahui rakannya, pemilik motosikal Honda Freedom yang dipinjam bersama teman wanitanya, ditahan bersama dadah dan didakwa memiliki peralatan berkaitan dadah. Dia dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara pada 2018.

Di Penjara Changi, Beh berkata, kehidupannya sukar tetapi dia memberanikan diri untuk menempuhinya. “Tetapi dalam hati saya, saya seperti ‘tenggelam’ dan sedih. Saya paksa diri untuk gembira, kerana orang lain yang dijatuhi dengan hukuman mati juga kelihatan gembira.”

Beh teringat satu ketika peguamnya berjaya mendapatkan elaun tiga hari di luar penjara dari Mahkamah Tinggi Singapura supaya dia dapat meraikan Tahun Baharu Cina

Beh berkata, tiga hari itu penuh dengan pahit manis, dia mengunjungi banyak tempat pelancongan di pulau itu – sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebagai orang bebas – dan membuat panggilan video kepada keluarganya, sambil mengenang hari dia akan dihukum gantung.

Dia sangat berterima kasih kepada Wong, yang memperjuangkan pembebasannya selama empat tahun secara pro bono. Dia juga hampir menangis ketika Wong membelikannya telefon bimbit baru-baru ini.

“Ketika saya keluar dari penjara, saya tidak percaya saya bebas. Ketika saya mendapat telefon, saya benar-benar merasa bebas,” katanya.

“Saya ingin melupakan perkara yang pernah berlaku. Dan saya tidak mahu ia berlaku pada sesiapa. Tolong jangan tanya saya lagi mengenainya kerana ia hanya akan membuka lebih banyak luka,” katanya.

Wong, turut menempatkan Beh di sebuah hotel pada kadar SGD100 sehari di Singapura, bersama sejumlah wang saku dan makanan serta memberitahu dia sangat gembira membantu.

“Saya mahu membela orang yang tidak bersalah, dan saya gembira kerana dapat membantu Beh.

“Ini adalah kes pertama di Singapura di mana seseorang yang dijatuhi hukuman mati kerana mengedar dadah dibebaskan atas rayuan. Ini yang paling baik. Kami biasanya melihat kes seperti ini hanya diganti dengan hukuman penjara.

Hujung minggu ini, Beh akan kembali bersatu dengan keluarga dan orang tersayang di Pulau Pinang.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/10/bagaimana-saya-akhirnya-dihukum-mati-hanya-kerana-mahu-berjimat/