Kerana hutang pembuat kuih ini hentak kepala rakan hingga mati, sembunyi mayat bawah katil

Kerana hutang pembuat kuih ini hentak kepala rakan hingga mati, sembunyi mayat bawah katil

Seorang pembuat kuih warga Indonesia tergamak membunuh rakan senegaranya dengan cara menghentak kepala mangsa di lantai sehingga mati sebelum menyorokkan mayat mangsa di bawah katil bagi melangsaikan hutang dalam satu kejadian di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada Isnin lalu.

Dalam kejadian di tingkat dua sebuah pangsapuri tersebut, suspek wanita berusia 39 tahun itu telah menghubungi mangsa yang bekerja sebagai penjual kuih dengan alasan untuk mendapatkan bantuan mengangkat anaknya kerana tangan suspek mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd. Khalid Othman berkata, mangsa yang tidak menyedari niat suspek telah pergi ke rumah rakannya yang terletak kira-kira 10 meter itu sebelum mangsa ditolak dan kepala dihentak ke lantai sehingga mati.

“Mayat mangsa kemudiannya telah disorokkan dibawah katil dengan diselubungi kain dan selimut. Suspek kemudiannya telah mengambil barang kemas milik mangsa dan telah menggadaikannya bagi melangsaikan hutang berjumlah RM5,000.

“Kehilangan mangsa disedari suaminya yang baru pulang dari bekerja pada pukul 7 malam selepas mendapati pintu rumah tidak berkunci dan terdapat barangan peribadi milik isterinya namun dia tidak kelihatan,” katanya ketika sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, bimbang akan keselamatan isterinya, lelaki berkenaan telah membuat laporan kehilangan di Balai Polis USJ 8 kira-kira pukul 12 tengah malam.

“Kali terakhir suami mangsa berjumpa dengan mangsa adalah pukul 1.20 tengah hari dan berhubung dengan mangsa pada 3.46 petang pada hari yang sama mangsa dibunuh.

“Bertindak atas laporan, polis telah menahan suspek semalam dan hasil soal siasat suspek mengaku telah membunuh mangsa yang berusia 54 tahun itu sebelum membawa pihak polis ke tempat mangsa disembunyikan,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan turut mendapati, suspek dan mangsa saling mengenali dan sentiasa berurusan mengenai perniagaan kuih-muih di gerai berhampiran rumah mangsa.

“Ketika kejadian, dua anak suspek yang berusia setahun dan tiga bulan turut berada di rumah tersebut manakala suami suspek tiada di rumah. Kita juga telah menahan suami suspek yang bekerja sebagai kru produksi berusia 48 tahun bagi membantu siasatan.

“Motif pembunuhan ini adalah disebabkan suspek mempunyai masalah kewangan dan mangsa sering memakai barangan kemas yang banyak menyebabkan suspek terdesak sehingga sanggup melakukan perbuatan sedemikian,” katanya.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala reman suspek akan dimohon pada pagi ini.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/03/10/kerana-hutang-pembuat-kuih-sanggup-hentak-kepala-rakan-hingga-mati/