Kerajaan tukar SOP sambut Tahun Baru Cina, boleh ‘makan besar’ 15 orang

Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara

(MKN) hari ini yang telah dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob bersetuju meluluskan SOP Sambutan Tahun Baru Cina yang telah ditambah baik.

Mesyuarat bersetuju Makan Besar Keluarga (Family Reunion Dinner) pada 11 Februari 2021 dibenarkan dengan tidak melebihi 15 orang ahli keluarga terdekat yang tinggal dalam zon lingkungan 10km radius tanpa rentas daerah dan negeri.

Mesyuarat juga bersetuju untuk aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari 2021 dibenarkan dan tertakluk kepada SOP ketat seperti
berikut:

i. Bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang
pada satu-satu masa dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan
fizikal.

ii. Tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi
dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang
yang berikutnya.

iii. Jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada jam 6.00 pagi
hingga 2.00 petang sahaja seperti di Lampiran 1.

iv. Aktiviti sembahyang pada 19 Februari 2021 dibenarkan di halaman
rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan
Tahun Baru Cina bagi “Hokkien Clan”.

Pegawai-pegawai Perpaduan yang telah dilantik sebagai Pegawai Pemantau di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Halimah Mohamed Sadique menyeru masyarakat kaum Cina di Malaysia untuk menyambut perayaan tahun ini dalam norma baharu, sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan, menjaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal dalam usaha kita memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia.

Kementerian Perpaduan Negara