Kerajaan menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.
MPN akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Menteri Kewangan yang juga Menteri Penyelaras PPN, Tengku Zafrul Aziz, berkata kerajaan memutuskan bahawa PPN akan dibentangkan di Parlimen pada 26 Julai ini.
“Berteraskan pendekatan ‘whole of nation’, MPN akan melantik wakil-wakil daripada sektor swasta, pakar industri, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman dan nasihat di dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar dari pandemik ini secara sistematik dan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Tengku Zafrul berkata, mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet PPN hari ini memutuskan untuk menambah baik SOP berdasarkan maklum balas dari antara lainnya, “subject matter experts”, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan beberapa kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin dan mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat-syarikat yang telah memberi vaksinasi penuh kepada pekerjanya untuk beroperasi sepenuhnya.
“MPN juga akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang telah ditetapkan.
“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak Covid-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti/pergerakan, kadar dan tempoh kebolehjangkitan, populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam,” katanya.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/16/kerajaan-tubuh-majlis-pemulihan-negara-kukuh-strategi-kawal-covid-19/
BACA JUGA : Terkini !!! PKPD 34 mukim Selangor tamat hari ini