Kerajaan tak gagal cuma perjuangan belum berakhir. PAS menyelar dakwaan segelintir pihak yang menuduh Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal dalam menangani wabak Covid-19.
Menurut Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad, kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan sentiasa berjuang bagi menangani wabak berkenaan dan kerjasama ini memerlukan peranan semua pihak termasuk pemimpin masyarakat serta rakyat.
“Sememangnya, perjuangan menangani wabak ini belum berakhir. Tidak ada siapa yang gagal melainkan semua pihak sama ada pemerintah mahupun rakyat sedang berusaha sedaya upaya.
“Kita dapat melihat usaha gigih kerajaan berjaya menggerakkan vaksinasi lebih pantas sehingga mampu mencapai suntikan melebihi 300,000 sehari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Jelasnya, Malaysia merupakan 10 negara tertinggi di dunia dari sudut kadar vaksinasi harian dan jumlah bekalan vaksin sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi menyelamatkan rakyat.
Justeru katanya, kerajaan dan juga pasukan barisan hadapan sentiasa gigih berusaha mengambil langkah pencegahan dan meningkatkan jumlah vaksinasi demi menyelamatkan rakyat.
Ekoran muncul pelbagai varian baharu yang dikatakan berbahaya seperti varian Delta, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada semua negara agar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, kata Kamaruzaman lagi.
“Justeru, petugas barisan hadapan, pemimpin dan seluruh rakyat perlu bersiap-siaga dan bertolong-menolong sehingga kita benar- benar berjaya menangani Covid-19,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mendakwa masih ada pihak yang cuba bermain politik kerana terlalu gila untuk berkuasa semula meskipun negara berhadapan penularan Covid-19 yang mengancam nyawa.
Menerusi tulisan Tuan Guru Abdul Hadi pada 12 Julai lalu, beliau berkata pihak terbabit turut mendakwa laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung jumlah statistik penularan Covid-19 sebagai berpolitik, biarpun menjadi kewajipan menyatakan keadaan sebenar di lapangan.
Malah, beliau menyifatkan mereka yang berani mencabar pihak yang menjalankan kewajipan menangani wabak terbabit ibarat orang buta memarahi individu yang membantunya melintas jalan.
Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/13/tidak-gagal-perjuangan-tangani-covid-19-belum-berakhir/
BACA JUGA : Pas ucap tahniah atas pelantikan Ismail Sabri sebagai TPM