Kerajaan akan menyediakan hotline untuk mangsa penderaan seksual lelaki, kata Ayuko Kato, menteri yang bertanggungjawab bagi dasar berkaitan kanak-kanak.
Pengumuman itu dibuat ketika Jepun berdepan skandal penderaan seksual di agensi boyband (artis lelaki berkumpulan lelaki) terbesar di negara itu.
Talian khas itu akan tersedia untuk lelaki dewasa dan kanak-kanak selama tiga bulan mulai Jumaat dan pakar akan menerima panggilan untuk kaunseling, menurut Pejabat Kabinet.
“Kami berharap mangsa akan berasa selamat dan boleh bercakap tanpa teragak-agak,” kata Ayuko kepada pemberita, Selasa lalu.
Langkah itu dibuat ketika empayar boyband Johnny & Associates mengakui buat kali pertama, pada awal bulan ini, bahawa pengasasnya, Johnny Kitagawa melakukan serangan seksual terhadap rekrut muda selama beberapa dekad.
Kitagawa meninggal dunia empat tahun lalu ketika usia 87 tahun.
Beliau ‘melahirkan’ kumpulan popular J-pop termasuk SMAP, TOKIO dan Arashi yang mengumpulkan peminat fanatik di seluruh Asia.
Dakwaan bahawa dia mendera secara seksual lelaki muda yang ingin menjadi artis, muncul di media Jepun pada 1999.
Bagaimanapun, baru tahun ini, isu itu baru diketengahkan berikutan dokumentari BBC dan kecaman daripada mangsa Kitagawa.
Kerajaan Jepun menawarkan talian 24 jam untuk kedua-dua mangsa penderaan seksual lelaki dan wanita.
Bagaimanapun, seorang jurucakap pejabat kabinet memberitahu AFP bahawa terdapat kebimbangan bahawa lelaki mungkin keberatan untuk menggunakan perkhidmatan itu.
Talian baharu itu adalah sebahagian daripada pelan kecemasan kerajaan terhadap penderaan seksual kanak-kanak.
BACA: “Awak helok lah, nak is*p awak?” Selebriti lelaki terkenal terima mesej lucah dari peminat