Kerajaan sedang kaji konsep dan mekanisme untuk buka semula parlimen

Kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata langkah sedemikian diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mengadakan mesyuarat secara maya hari ini dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara dan Timbalan-Timbalan Yang DiPertua bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan.

“Ia antara lain merangkumi persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang meliputi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

“Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep mengadakan Parlimen hibrid ini yang berasaskan penyertaan Ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan maya.

“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelbagai pihak sebelum ini menyuarakan kritikan dan gesaan supaya Parlimen kembali bersidang, bagi menjamin keutuhan demokrasi yang menjadi teras kedaulatan sistem pentadbiran di Malaysia.

Parlimen tidak bersidang susulan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 11 Januari lalu telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara hingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif untuk membendung wabak COVID-19.

Bagaimanapun, baginda pada 24 Februari lalu, bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said, Selasa lalu dilaporkan berkata pembukaan semula Parlimen bakal membantu kerajaan dalam memerangi COVID-19 dengan meningkatkan pemahaman rakyat mengenai dasar berkaitan wabak itu dan kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

Kali terakhir Dewan Rakyat bersidang ialah selama 29 hari hingga 17 Disember tahun lalu. Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021.

Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan dan berkuat kuasa pada 11 Januari lalu hingga 1 Ogos depan menggariskan sebarang peruntukan untuk memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen, tidak mempunyai kesan dan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, mana-mana mesyuarat Parlimen yang dipanggil sebelum tarikh permulaan kuat kuasa ordinan itu, tetapi belum diadakan adalah dibatalkan.

Jemaah Menteri pada 3 Mac lalu membuat keputusan bahawa tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat selepas mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Hal itu kerana Perkara 150 (2B) dalam Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/824335/sidang-parlimen-secara-hibrid-dikaji