Kerajaan PN telah sudah cecah had hutang 60 peratus, perlu naik had lagi jika nak berbelanja – Najib

Kerajaan PN telah sudah cecah had hutang 60 peratus, perlu naik had lagi jika nak berbelanja – Najib

Semalam, PH Plus mengeluarkan kenyataan bersama mendesak kerajaan untuk:

1. Beri lanjutan moratorium pinjaman secara automatik seperti moratorium pertama tahun lepas.

2. Tingkatkan lagi jumlah subsidi, memperluaskan dan lanjutkan tempoh skim subsidi upah daripada 3 bulan ke 6 bulan.

Pada pandangan saya, mana-mana cadangan mestilah berdasarkan kemampuan dan kekangan yang dihadapi kerajaan tanpa dicadang sesuka hati.

Bagi cadangan pertama, saya dan BN memang setuju sebab itu desakan kita sekian lama sejak bulan Julai 2020 lalu sebab ia tidak melibatkan perbelanjaan dan bajet kerajaan tapi mampu menyuntik dana yang besar ke dalam ekonomi tempatan serta meringankan beban ramai yang terdesak.

Bagi cadangan kedua pula, pandangan saya ialah kerajaan sudah mengalami kekangan bajet untuk melaksanakan jika kerajaan tidak menaikkan sekali lagi had hutang negara dari 60 peratus ke 65 peratus setelah menaikkan had tersebut melalui RUU di parlimen pada bulan Ogos 2020.

Kerajaan sudah melaksanakan bajet defisit. Selain hasil kerajaan, sumber dana utama untuk menampung perbelanjaan yang lebih besar adalah melalui menambah hutang negara atau ambil dari rizab Petronas.

PH perlu tahu bahawa:

1) Kerajaan sudah berbelanja RM15 bilion pada tahun lepas untuk skim subsidi upah pada tahun lepas. Ini adalah bersamaan dengan hampir dua kali ganda peruntukkan bagi bayaran BPN.

2) Untuk melanjutkan skim subsidi upah bagi tahun 2021 ini pula, kerajaan PN cuma peruntukkan RM2.5 bilion. Sebab itu skim tahun ini agak terhad berbanding tahun lepas.

3) Walaupun dinafi oleh Menteri Kewangan pada bulan Disember tahun lepas, data Kementerian Kewangan sendiri menunjukkan bahawa kerajaan sudah cecah had hutang 60 peratus yang telah dinaikkan.

4) Sejak PRU14, kerajaan PH dan kerajaan PN sudah menaikkan nisbah hutang negara dari 48.7 peratus (yang diturunkan oleh kerajaan BN setelah mencatat pertumbuhan ekonomi yang mantap serta defisit bajet yang menurun selama 8 tahun berturut-turut) pada akhir suku 1 2018 sebelum PRU14 ke 54.4 peratus pada akhir bulan Mac 2020 dan seterusnya ke 60.7 peratus pada Disember lalu.

Kini hutang negara hari ini sudah cecah RM900 bilion dan bakal sampai ke RM1 trilion pada akhir tahun ini atau tahun depan.

Permintaan lemah

Kerajaan PH dan PN juga mengambil kesempatan rizab Petronas sebanyak RM174 bilion yang ditinggalkan kerajaan BN sebelum PRU14 untuk dibayar dividen yang jauh lebih tinggi berbanding masa BN. (tengok carta)

Sebab itu, kerajaan PN hari ini menghadapi kekangan yang besar untuk memberi bantuan yang sewajarnya akibat terlebih belanja/meminjam serta ekonomi dan pelaburan asing yang asyik menurun (sehingga menjadi negatif pada suku 3 tahun 2020).

Jadi, apabila PH Plus menuntut peruntukkan bagi skim subsidi upah dinaikkan semula maka PH Plus juga perlu sokong kerajaan PN untuk naikkan lagi had hutang negara sekali lagi (serta menghadapi penurunan penarafan negara sekali lagi seperti apa yang dibuat Fitch Ratings bulan lepas).

Seperti dalam perbahasan dalam parlimen serta posting-posting saya sebelum ini, Saya tak membantah sebab banyak negara lain juga mewujudkan skim seperti ini untuk melawan Covid dan skim PSU ini juga antara program utama kerajaan PN pada tahun lalu.

Namun, kebimbangan saya ialah syarikat-syarikat yang mengalami penurunan penjualan 30 peratus dan ke atas adalah berpunca daripada permintaan yang lemah.

Maksudnya perniagaan sudah perlahan dan ini bermakna pekerja tak cukup kerja atau majikan sebenarnya tidak memerlukan begitu ramai pekerja berbanding sebelum krisis Covid-19 bermula.

Ramai pekerja akan kurang produktif walaupun mereka tetap menerima gaji. Ada juga yang disuruh tidak bekerja sebab mereka tidak diperlukan walaupun pekerja tetap dibayar gaji bulanan.

Saya juga bimbang bahawa sektor-sektor tertentu seperti industri pelancongan, penghotelan dan penerbangan akan memerlukan tempoh yang jauh lebih lama sebelum memulih.

Ada yang meramal sektor-sektor ini memerlukan tempoh sehingga 4 tahun sebelum pulih.

Maka tempoh PSU selama 3 hingga 6 bulan tidak mungkin cukup bagi mereka.

Apakah yang akan berlaku kepada mereka setelah tempoh skim PSU berakhir?

Dan adakah kerajaan akan lanjutkan PSU ini untuk 4 tahun lagi supaya majikan terus membayar gaji pekerja yang tidak diperlukan?

Mereka akan terpaksa buang pekerja juga akhirnya sebab bisness mereka memang tidak perlu begitu ramai pekerja.

Peluang struktur semula

Saya tengok krisis Covid-19 ini juga merupakan satu peluang untuk mengstruktur semula dan meningkatkan daya saing negara.

Ini juga peluang untuk kita melabur dalam kemahiran dan produktiviti tenaga kerja negara supaya negara lebih bersedia untuk masa depan.

Sebab itu, saya cadang syarikat dan pekerja yang memohon skim PSU ini diberi pilihan untuk memilih skim latihan jangka masa sederhana ala PTPTN untuk menaikkan kemahiran atau menukar kemahiran mereka.

Kita beri peluang kepada pekerja untuk upskill dan re-skill.

Skim ini boleh dibiayai melalui pinjaman bank atau kerajaan pada kadar faedah rendah dan juga subsidi dari tabung HRDF di bawah PERKESO.

Mereka yang memilih skim latihan ini akan dibayar kos sara hidup bagi mereka dan keluarga mereka sepanjang masa kursus latihan mereka sebagaimana pelajar universiti menerima manfaat di bawah skim PTPTN.

Pemandu pelancong yang tiada kerja boleh menerima kursus bahasa asing supaya mereka lebih bernilai selepas industri pelancongan memulih.

Staf hotel boleh mengambil kursus soft-skill untuk menaik taraf servis mereka.

Staf sales akan dilatih dalam bidang strategic selling atau penjualan antarabangsa agar mereka lebih mantap membuat sales pada masa hadapan.

Dan ada juga yang akan menggunakan peluang ini untuk menuntut kemahiran yang membolehkan mereka tukar karier mereka ke sektor yang sedang pesat membangun ketika krisis Covid ini – misalnya ke industri IT, app dan online sales.

Mereka yang paling cemerlang dalam kursus-kursus seperti ini juga boleh diberi ganjaran oleh kerajaan melalui peruntukan baru atau dari tabung HRDF di mana pinjaman mereka boleh dikecualikan sebagaimana PTPTN memaafkan pinjaman bagi pelajar universiti yang berjaya mendapat ijazah kelas pertama.

Pada pendapat saya, skim ini lebih baik bagi masa depan negara berbanding berterusan membayar subsidi untuk membayar gaji pekerja yang memang tidak diperlukan pada masa ini untuk duduk di rumah atau tak buat apa-apa semasa berkerja sebab sektor-sektor tertentu tidak akan memulih dalam jangka masa pendek. – MK