Kerajaan PN seperti kabinet ‘goreng pisang’ – Puad Zarkashi

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi terus membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menggelarnya sebagai ‘Kabinet goreng pisang’.

Kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu, perlu ada kerajaan yang lebih stabil dan bukannya majoriti lemah.

“Sebab itu amat wajar sokongan kepada Kerajaan PN ditarik balik. Duduk di situ pun tidak boleh buat apa,” tempelaknya.

Beliau menegaskan ekonomi negara semakin teruk dengan sejumlah pelabur asing memindahkan operasi mereka ke negara jiran.

“Menteri Kewangan pun cakap bohong kononnya kemasukan pelaburan asing 2020 lebih RM100 bilion. Cuba namakan.

“Tahun ini Hyundai akan pindah ibu pejabat Asia Pasifik dari Kuala Lumpur ke Indonesia. Bertambahlah penganggur di Malaysia,” katanya, dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, Indonesia menerima pelaburan dari Hyundai (RM4.02 bilion), Toyota (RM8.04 bilion), syarikat bateri CATL (RM20.09 bilion), LG Chem (RM39.37 bilioan) dan Amazon (RM10 bilion).

Dalam masa sama, kata Puad, kerajaan PN pula meneruskan dasar Pakatan Harapan (PH) menjual aset apabila sejak Mac tahun lalu hampir RM8 bilion aset Khazanah telah dijual.

“Rakyat semakin susah. Kerajaan menolak monatorium automatik dan pengeluaran one off RM10,000 dari akaun 1 (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” ujarnya.

“Tidak ada konsensus dalam memutuskan dasar negara seperti pembatalan projek HSR (Kereta Api Berkelajuan Tinggi, Kuala Lumpur-Singapura).

“Sedangkan seminggu sebelum itu Majlis Presiden Kerajaan PN ditubuhkan,” hujahnya.

Dalam masa sama, Puad turut sempat menempelak Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan.

“Mana yang melobi jadi Ketua Pengarah J-KOM (Jabatan Komunikasi Komuniti-ganti JASA) macam Tun Faisal bolehlah jalan terus,” ujarnya.

Untuk rekod, Tun Faisal juga merupakan bekas pengarah bahagian komunikasi strategik JASA.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/puad-zarkashi-anggap-kabinet-pn-goreng-pisang/

 

COMMENTS

Wordpress (0)