Kerajaan, PH digesa muktamadkan segera kerjasama – BERSIH

Bersih menggesa kerajaan baru Malaysia dan pembangkang segera memuktamadkan kerjasama mereka bagi mencapai kestabilan politik, reformasi institusi dan tata kelola yang lebih baik serta inklusif.

Gesaan itu dibuat NGO pendesak pembaharuan pilihan raya itu selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) semalam membuat kenyataan bersama untuk mewujudkan keadaan lebih kondusif dalam pelbagai perkara dalam konteks Keluarga Malaysia.

“Bersih memuji langkah yang dimulakan oleh kedua-dua pihak kembali memfokuskan tenaga untuk memerangi pandemik Covid-19, memulihkan ekonomi negara dan menggerakkan penambahbaikan institusi demi kestabilan politik,” kata pertubuhan itu dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan, PH digesa muktamadkan segera kerjasama - BERSIH

Tambah Bersih, persefahaman dan persetujuan yang dicapai itu perlu segera dibincangkan dengan lebih mendalam serta dimuktamadkan dengan menandatangani perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA).

Ia, katanya, kemudian harus diumumkan kepada orang ramai bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban terma yang dipersetujui.

“Garis masa untuk pelaksanaan reformasi-reformasi ini juga perlu dirangka.

“Perdana menteri juga perlu menjemput parti-parti lain dan ahli parlimen bebas untuk membincangkan titik persamaan, serta memeterai persetujuan di antara parti-parti yang menyokong beliau.

“Ini penting untuk menjamin kestabilan politik dan memberikan makna serta pengisian kepada slogan Keluarga Malaysia,” katanya.

Gabungan itu turut mengajukan 10 cadangan kepada kerajaan dan pembangkang di bawah “Pelan Perdamaian Rentas Parti”.

Antaranya:

Majlis Persekutuan-Negeri berkenaan Kesihatan dan Ekonomi dengan wakil kerajaan pusat, pembangkang dan 13 kerajaan negeri, dibantu pakar dalam perkhidmatan awam dan masyarakat madani.

Had penggal perdana menteri.

Panduan kabinet yang melengkapkan Perlembagaan Persekutuan

Pembaharuan parlimen untuk memperkasakan peranan Parlimen.

Pembaharuan Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menamatkan pendakwaan terpilih dan konflik kepentingan

Pelaksanaan segera Undi 18, daftar pemilih secara automatik, peluasan undi tidak hadir kepada pengundi di luar kawasan.

Penggubalan Akta Pembiayaan Politik

Pendaftaran dan penyeliaan parti politik di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbanding Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/588777

BACA JUGA : Anak muda perlu tunjuk jalan keluar kepada ‘warlord’ politik