Kerajaan pertimbang buka kembali sempadan negara untuk galakkan pelancongan – Menteri

Kerajaan mempertimbangkan untuk membuka sempadan negara bagi membantu merancakkan sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

“Kini, kami di peringkat mengadakan rundingan dengan negara-negara seperti Singapura, Brunei, Korea, Jepun, Taiwan dan New Zealand yang dikenal pasti sebagai kawasan zon hijau,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) di sini hari ini.

Nancy berkata beliau menerima banyak permintaan daripada pemain industri pelancongan tempatan untuk mempertimbangkan perkara itu bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dibincangkan dengan lebih lanjut bersama kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan bahawa kebenaran itu diberikan untuk membantu meningkatkan sektor pelancongan di negara ini,” katanya.

Ditanya sama ada gelembung perjalanan zon hijau membantu meningkatkan sektor pelancongan, Nancy berkata: “Ya, malah bilik hotel seperti Langkawi penuh ditempah. Jadi, ia adalah inisiatif yang bagus khususnya untuk sektor pelancongan.”

Sementara itu, Nancy turut menggesa pelancong dari zon hijau yang mengembara ke tempat lain supaya mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) terutamanya dalam mengekalkan penjarakan fizikal ketika bercuti.

“Kita tidak mahu kes COVID-19 semakin meningkat apabila kerajaan meluluskan gelembung perjalanan zon hijau kerana akhirnya ia akan memberi kesan terhadap ekonomi khususnya sektor pelancongan di negara kita,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/769462/kerajaan-pertimbang-buka-sempadan-untuk-tingkatkan-pelancongan-nancy

COMMENTS

Wordpress (0)