Keputusan seks luar tabii : Pas bimbang undang-undang negeri dicabar lagi

Oleh MHDAILY

PAS menggesa semua pihak menghormati dan tidak mencabar undang-undang negeri lagi, susulan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang undang-undang syariah mengenai seks luar tabii tidak berperlembagaan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, ia demi kebaikan kehidupan sosial, keharmonian agama dan budaya serta perpaduan negara.

“PAS bimbang sesuatu keputusan yang terpaksa dibuat badan kehakiman atas desakan tidak wajar akan membawa kepada implikasi tidak bermanfaat kepada negara dan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan.

Khamis lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan peruntukan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim sebulat suara membenarkan permohonan seorang lelaki mencabar Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Katanya, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, bercanggah Perlembagaan Persekutuan, bahkan Seksyen 28 juga dilihatnya tidak konsisten dan tidak sah.

Beliau berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Takiyuddin berkata, PAS akan meneruskan usaha untuk mengharmonikan undang-undang sivil dan syariah berteraskan undang-undang lazim.

“PAS yakin berteraskan pengiktirafan undang-undang syariah, termasuk oleh Mahkamah British di negara ini pada zaman pra-merdeka, prinsip undang-undang tersebut mampu mewujudkan suatu wajah baru dan dinamik kepada sistem perundangan negara.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/28/jangan-cabar-undang-undang-negeri-lagi-gesa-pas-selepas-keputusan-seks-luar-tabii/