Kenyataan AG ibarat hina Istana Negara – Anwar

Kenyataan AG ibarat hina Istana Negara – Anwar

Kenyataan AG ibarat hina Istana Negara

Kenyataan Peguam Negara berhubung kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam proses pembukaan Parlimen, dilihat sebagai melampau dan menghina Istana Negara, dakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ia juga mempunyai kemungkinan untuk mengheret negara ke lembah krisis Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, dakwa beliau lagi, ada usaha yang sistematik digerakkan bagi menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen untuk melengahkan sesi Parlimen.

“Kita juga maklum bahawa ada usaha yang sistematik sedang digerakkan untuk menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen bagi melengahkan sesi Parlimen di saat kerajaan ini terus gagal mengemudi negara saat wabak (COVID-19).

“Malaysia dilihat sebagai antara negara yang paling lemah di pelbagai segi dalam mengawal pandemik, sama ada perolehan vaksin, tahap ujian saringan dan penggunaan langkah PKP (perintah kawalan pergerakan).

“Dalam masa yang sama, ekonomi negara terus lingkup di mana jutaan warga akan jatuh miskin. Malah, ada beberapa pakar ekonomi juga meramalkan kita akan menghadapi kemelesetan yang panjang,” kata Anwar lagi sewaktu bersiaran di Facebook rasmi beliau pada Jumaat.

Ketua Pembangkang itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Idrus menjelaskan, baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.
BACA: Buka Parlimen: Kuasa Agong dengan nasihat jemaah menteri – Peguam Negara

Dalam pada itu Anwar berkata, tidak perlu membuang masa untuk membincangkan mengenai peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak dapat membuktikan keabsahannya dalam Parlimen.

Tegasnya lagi, keabsahan mana-mana ketua kerajaan (Perdana Menteri) dalam mana-mana sistem yang demokratik tergantung pada keupayaan merangkul kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen.
Selain itu, Anwar berkata, undang-undang hari ini diguna pakai sewenang-wenangnya bagi melindungi kerajaan yang tidak sah dan Ahli-ahli Parlimen yang telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan mesti menyatakan prinsip.

“Keabsahan kerajaan PN tidak pernah dibuktikan sejak ia mula didirikan tahun lalu dan menurut mekanisme yang sah di dalam Demokrasi Berparlimen, kerajaan mesti menjawab persoalan kepercayaan di Parlimen.

“Namun, itu tidak berlaku, dan ini meletakkan kedudukan Perdana Menteri dan seluruh Kabinet dalam keadaan tidak selamat,” tegas Anwar lagi.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/buka-parlimen-kenyataan-peguam-negara-ibarat-hina-istana-negara-anwar-ibrahim-305243