Kenapa bangkitkan isu lawak rogol? Pelajar ini tampil beri penjelasan

Kenapa bangkitkan isu lawak rogol? Pelajar ini tampil beri penjelasan

Selepas Ain Husniza Saiful Nizam membuat pendedahan berhubung guru lelaki yang didakwa membuat jenaka berkaitan rogol, dia berdepan pelbagai kecaman.

Dia juga menerima ancaman rogol daripada seorang pelajar di sekolahnya.

Antara kritikan yang paling banyak diterima pelajar berusia 17 tahun itu adalah dia terlalu emosional dan sepatutnya menyelesaikan perkara itu secara dalaman dengan pihak sekolah.

Bagaimanapun, dalam wawancara bersama Malaysiakini, Ain yang ditemani bapanya berkata dia menyuarakan perkara itu kerana tidak mahu ia berulang.

“Banyak yang dikatakan terhadap saya, ‘Ain, kamu bersikap emosional, kamu boleh selesaikan dengan sekolah, kamu cemarkan nama sekolah’.

“Jika saya hanya selesaikan dengan sekolah, adakah ia akan ubah keadaan di sekolah lain? Saya tak mahu hal ini jadi kebiasaan.

“Saya ingin hukuman tegas dan tindakan diambil terhadap cikgu itu agar cikgu lain di negara kita tahu perlakuan sebegitu tak boleh diterima.

“Saya perlu lakukan perkara ini demi semua pelajar yang telah lalui hal seumpama ini,” katanya.

Ain berkata pendidikan adalah asas kepada negara dan pelajar yang melalui keadaan pelajaran seumpama itulah yang akan mengemudi negara pada satu hari nanti.

“Apabila lelaki usia saya begitu berani kata dia nak rogol saya, apa yang anda rasa akan berlaku bila dia jadi dewasa nanti?

“Bila ada guru yang ajar hal seumpama itu dalam kelas…anda rasa berapa ramai pelajar lelaki yang akan terpengaruh dengan pemikiran toksik seperti itu?” soalnya.

sabtu lalu, Ain menerusi video di aplikasi TikTok berkata seorang guru lelaki membuat jenaka berkenaan rogol semasa kelas pendidikan jasmani dan kesihatan.

Menurutnya, guru tersebut antara lain memberitahu pelajar lelaki bahawa jika mereka ingin merogol, mereka patut menyasarkan orang berusia 18 tahun.

Video tersebut tular dan mencetuskan kemarahan di media sosial.

sehari kemudian, Ain berkata dia menerima rakaman audio daripada seorang pelajar lelaki yang mengancam untuk merogolnya. Audio itu pada asalnya dihantar ke sebuah group chat.

Suara dalam rakaman itu diubah bagi melindungi identiti pelajar tersebut, kata Ain, sambil mendambah dia mengongsikan rakaman tersebut agar orang ramai tahu kecaman yang diterimanya.

Bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab berkata dua laporan polis telah dibuat – berhubung kenyataan guru dan juga ancaman rogol yang diterima.

Polis berkata pihaknya telah memulakan siasatan dan sedang mengambil keterangan daripada saksi dan pihak yang terlibat.

Timbul kerisauan terhadap keselamatan Ain sehingga dia tidak pergi ke sekolah pada Isnin lalu.

Ketika wawancara, soal pembelajaran di rumah (homeschooling) turut dibangkitkan tetapi dia bertegas untuk terus belajar di sekolah.

“Kerajaan sepatutnya beri kita pendidikan. Kenapa sampai perlu pilih homeschooling?

“Kalau saya pilih jalan itu, ia hanya saya. Bagaimana dengan pelajar lain?” soalnya.

Saiful pula berkata ia adalah anara pilihan yang ada. Baginya, apa yang berlaku kepada anaknya tidak boleh diketepikan begitu saja.

“Sedih melihat anak saya terpaksa lalui perkara ini…(tetapi) inilah masanya untuk kita lakukan perubahan dan kami harap ia tidak berulang lagi,” katanya yang memberi sokongan penuh kepada anaknya.

#MakeSchoolASaferPlace

Walaupun tidak menyangka videonya akan tular, Ain sedia untuk terus memperjuangkan #MakeSchoolASaferPlace, tanda pagar yang dimulakannya dan kini sudah digunakan dalam lebih 114,000 ciapan.

Dengan tanda pagar itu, ramai yang turut berkongsi pengalaman mereka di sekolah, manakala yang lain menyuarakan sokongan.

Dia berharap bukan saja untuk menggalakkan lebih ramai pelajar bersuara tentang apa yang dihadapi, tetapi untuk pihak lain mula mendengar.

“Ini kali pertama saya dengar guru berkata demikian, tetapi saya bercakap dengan kawan perempuan saya dan mereka kata ia bukan kali pertama.

“Saya tanya, ‘kenapa kamu tak kata apa-apa’. Mereka kata orang tak akan dengar apa yang mereka kata.

“Dengarlah suara pelajar, apa yang kami ingin perkatakan…Di mana lagi kami sepatutnya dapatkan bantuan? Kami minta bantuan guru dan mereka kata ini perkara biasa,” katanya lagi.

Jaringan sokongan

Kesedaran Ain terhadap isu sosial sudah lama.

Ironinya, di saat tanggapan lazim adalah ramai remaja membazir masa dengan internet, Ain berkata medium itulah yang membangkitkan minatnya terhadap isu sosial.

“Disebabkan saya terdedah dengan hal-hal di internet, saya jadi berani untuk bercakap tentangnya,” katanya.

“Orang kata generasi kami tak peduli terhadap isu moral…Saya yakin ramai remaja yang peduli dengan hal-hal ini, yang rasa ia salah, tetapi bila saya mula bersuara, ini respons yang saya terima.

“Bagaimana anda rasa reaksi pelajar, mereka akan rasa kecewa. Kami ingin bersuara tetapi suara kami tidak didengar,” katanya lagi.

Ain berkata kartunis Zunar adalah antara aktivis yang dikaguminya, memandangkan dia turut meminati seni.

Saiful pula menegaskan kepentingan membina kepercayaan antara ibu bapa dan anak mereka.

Dia juga berkata kalangan yang mengkritik anaknya kerana “mencemarkan” nama sekolah perlu tahu yang anaknya adalah seorang pelajar cemerlang, yang mewakili sekolah dalam pertandingan debat bahasa Inggeris dan seni di peringkat negeri.

“Baru-baru ini dia menang pertandingan debat di Selangor dan dapat tempat ketiga dalam pertandingan seni. Dia bukan pelajar bermasalah,” katanya lagi.

Tersipu apabila pencapaiannya dibangkitkan, Ain berkata dia sama saja seperti pelajar lain. Dia gemar menonton video di TikTok, menonton anime dan melayari internet.

Katanya, dia bukan datang daripada keluarga berada dan dia memiliki lingkaran sosial yang sama dengan pelajar lain.

“Tak ada beza antara saya dengan anda,” katanya lagi.

Berita Penuh :