Kempen ‘Pakai Baju Pas Setiap Sabtu’ sebagai persiapan menghadapi PRU15

PAS Negeri Pulau Pinang telah melancarkan ‘Kempen Pakai Baju PAS Setiap Sabtu’ yang telah disempurnakan Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Ir Ahmad Rafaei Dato’ A Rashid.

Kempen bersifat penampilan imej tersebut bertujuan menyuntik kebangkitan dan menyemarakkan semangat serta iltizam seluruh ahli PAS sebagai sebahagian persiapan menghadapi PRU15 kelak.

Pelancaran untuk diperluaskan kepada orang ramai sebagai tanda sokongan kepada PAS ini telah dilakukan sempena Amal Mega Blood Donation (AMBD) di Pasaraya Mydin Bukit Mertajam, di sini Sabtu lalu.

Menurut Ir Ahmad Rafaei, kempen ini juga sebagai cara untuk menunjukkan rasa cinta dan sayang dalam kalangan ahli PAS kepada gagasan perjuangan parti serta kepada para pimpinan.

Seru beliau, para pimpinan dan ahli-ahli PAS di negeri ini khususnya diharap serta digalakkan untuk berimej dengan pakaian berlogo PAS ke tempat-tempat awam di mana sahaja pada setiap hari Sabtu.

“Tidak perlu berbelanja untuk beli baru. Pakai sahaja baju yang melambangkan PAS dimana-mana sahaja sama ada di kedai kopi, pasar awam ,masjid dan sebagainya.

“Pakai sekurang-kurangnya seminggu sekali, ianya sudah cukup memberi impak besar kepada PAS terhadap masyarakat di Pulau Pinang,” katanya.

Kempen seumpama ini menjadi antara rutin PAS dalam menggerakkan gelombang semangat dalam kalangan anggotanya serta sokongan orang ramai sebagai sebahagian kemeriahan demokrasi.

AMBD di negeri ini diadakan di empat zon yang mewakili setiap daerah bagi melancarkan proses pendermaan menurut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di musim COVID-19 ketika ini.

Lokasi zon Timur Laut dan Barat Daya telah diadakan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Sardon, manakala di daerah Seberang Perai Utara diadakan di Masjid Dato’ Sheikh Adnan, Penaga.

Bagi daerah Seberang Perai Tengah, penganjuran diadakan di Mydin Bukit Mertajam, manakala di Seberang Perai Selatan telah diadakan di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Jawi.

Direkodkan AMBD Pulau Pinang berjaya mengumpul 325 penderma yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum di negeri ini.

Berita penuh : https://harakahdaily.net/index.php/2021/01/12/pas-p-pinang-lancar-kempen-pakai-baju-pas-setiap-sabtu/

COMMENTS

Wordpress (0)