Kempen hari terakhir sokong doktor kontrak, Hospital berubah ‘hitam’

Kempen hari terakhir sokong doktor kontrak, Hospital berubah ‘hitam’

Hari terakhir gerakan “Code Black” untuk menyokong doktor kontrak kini mencapai kemuncaknya.

Inisiatif itu yang dianjurkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Bahagian berkaitan pelatih, pegawai dan pakar perubatan (Schomos), menggalakkan orang ramai menukar gambar profil dalam media sosial mereka kepada hitam putih atau satu warna mulai 1 Julai hingga hari ini.

Pada hari terakhir, yang turut dikenali sebagai “Black Monday”, orang ramai diminta pergi bekerja dengan berpakaian hitam.

doktor kontrak

Seorang pelatih di sebuah hospital kerajaan di Lembah Klang berkata, sokongan adalah baik walaupun ramai tidak digalakkan oleh ketua jabatan mereka menyertai kempen itu dengan amaran tindakan disiplin mungkin dikenakan.

“Bagaimanapun, sesetengah doktor bukan kontrak berpakaian hitam kerana merasakan ia tidak akan menjejaskan tugas harian mereka di hospital,” katanya kepada FMT sambil menambah ada yang berpakaian seragam perubatan hitam untuk menunjukkan sokongan mereka.

“Kami bergelut melakukan kerja sama, tetapi dibayar lebih rendah daripada rakan sejawatan lain. Tolong layan kami dengan adil,” kata pelatih itu.

Seorang lagi pelatih di Lembah Klang berkata, kebanyakan rakan sekerjanya berpakaian hitam sempena kempen itu, tetapi beliau tidak dapat bersama mereka di hospital kerana sedang pulih daripada Covid-19 di asrama.

Walaupun terdapat sokongan kuat dalam bidang perubatan, doktor kontrak mendapati kesedaran dalam kalangan orang ramai adalah kurang kerana pandemik menyebabkan kebanyakan mereka sibuk.

“Ada elaun untuk mereka yang berada dalam pasukan Covid-19, tetapi kami mengharapkan jaminan untuk masa depan kami. Buat masa ini, tiada apa di hujung terowong dan kami tidak tahu hendak pergi ke mana selepas dua tahun kami berakhir.”

Katanya, beliau dan pelatih lain berharap dapat membuat pengkhususan, tetapi sistem kontrak semasa tidak membenarkan mereka berbuat demikian.

Di sebuah hospital di Sabah, seorang pegawai pelatih berkata, sokongan daripada pakar dan pegawai perubatan (MO) “sangat baik” dengan semuanya berpakaian hitam untuk bersolidariti bersama mereka.

“Saya tidak sangka begitu ramai kakitangan perubatan bukan kontrak akan bersama kami pada waktu penting ini.

“Bagi MO dan pakar yang sibuk ini mencari masa berbuat demikian di sebalik beban kerja yang berat dan mencabar adalah sesuatu yang perlu dibanggakan,” kata doktor junior itu.

Sementara itu, jurucakap Schomos berkata, respons daripada doktor di seluruh negara sangat menggalakkan.

Beliau turut menekankan mereka hanya berpakaian hitam untuk menunjukkan solidariti bersama doktor di bawah sistem kontrak tanpa menjejaskan tugas harian mereka.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua doktor, khasnya pakar dan pegawai perubatan bukan kontrak yang bersama kami untuk mewujudkan keadaan kerja lebih baik bagi doktor junior yang bekerja sangat keras semasa pandemik ini.”

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/12/hospital-bertukar-hitam-sokong-doktor-kontrak-pada-hari-terakhir-kempen/

BACA JUGA : Gempar !!! Pemimpin Umno didakwa atas tuduhan pengubahan wang RM11 juta