Kementerian peruntuk RM6 juta bagi menghasilkan Program Hiburan Dari Rumah

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengagihkan peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik bernilai RM6 juta kepada 960 penggiat muzik tanah air bagi menghasilkan Program Hiburan Dari Rumah (HDR) 2021.

DKD Muzik disalurkan bagi menerbitkan kandungan kreatif dalam program HDR membabitkan artis rakaman lama dan baharu; vokalis dan pemuzik kelab hiburan serta penyanyi dan pemuzik jalanan atau ‘busker’.

Turut mendapat manfaat adalah kumpulan nasyid dan penggiat seni muzik lain dari seluruh negara daripada pelbagai peringkat umur dan genre muzik. HDR 2021 diagihkan di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) 2021.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata peruntukan DKD Muzik tahun ini adalah terbesar diagihkan buat penggiat industri muzik.

JENDELA pacu pembangunan ekonomi digital negara
“DKD Muzik ini adalah antara dana yang diperuntukkan di bawah inisiatif PRISMA yang dilancarkan pada 5 Februari lalu.

“Ini sebagai langkah jangka pendek memastikan kelangsungan penggiat industri kreatif yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Program HDR ini membabitkan kumpulan sasar terbesar iaitu seramai 960 orang di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media virtual, semalam.

Saifuddin berkata, bagi memastikan agihan dana telus, kementerian melantik penggiat industri muzik dan ahli akademik sebagai ahli panel dalam Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Pelulus dan Pemilihan Artis.

Tambahnya, sejak diiklankan pada 15 Februari lalu, 119 syarikat mengemukakan permohonan dan lebih 3,600 penggiat industri muzik berdaftar.

“Semua permohonan melalui saringan mandatori melalui kriteria ditetapkan dan 12 syarikat yang terpilih sudah melalui Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Pelulus.

“Bagi memastikan pemilihan telus berdasarkan tatacara yang berkuat kuasa, wakil penggiat industri muzik, ahli akademik dan pegawai kementerian atau jabatan dan agensi berkaitan dilantik sebagai ahli panel.

“Ini termasuk 29 ahli panel merangkumi penggiat industri muzik mewakili artis rakaman, penyanyi, pemuzik kelab hiburan, penyanyi dan pemuzik jalanan atau busker dilantik sebagai Ahli Panel Jawatankuasa Pemilihan Artis untuk menyaring lebih 3,600 artis yang memohon,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pemohon yang tidak menerima manfaat kali ini tidak perlu bersedih kerana peluang akan diberi pada masa hadapan.

Saifuddin berharap lebih banyak banyak karya kreatif yang berkualiti dapat dihasilkan selain mewujudkan peluang pekerjaan melalui dana diagihkan.

“Pendapatan juga boleh dijana melalui platform disediakan bagi mempromosi dan memasarkan karya selain membantu mencipta peminat dan meningkatkan pengikut masing-masing,” katanya.

Saifuddin turut menyarankan penerbitan kandungan kreatif mempunyai unsur muzik dari rumah sesuai dengan situasi pandemik COVID-19 sekarang.

Sebanyak 192 video daripada HDR ini akan ditayangkan di platform seperti RTM dan media sosial.

Antara artis penerima DKD Muzik yang hadir pada sidang media itu adalah Datuk Nash, Ito, Francissca Peter, Atilia Haron, Munif dari kumpulan nasyid Hijjaz dan ramai lagi.

Penerima DKD Muzik merangkumi 487 penyanyi, 172 pemain gitar, 104 pemain bes, 93 pemain dram, 80 pemain keyboard dan 24 orang dalam kategori lain.

Setiap artis dibayar RM5,000 berdasarkan tugasan yang ditetapkan 12 syarikat yang diberi tanggungjawab menghasilkan HDR.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2021/06/823381/bhplus