Keluarga berkumpul sempena Aidilfitri, Neelofa disiasat lagi langgar SOP

Keluarga berkumpul sempena Aidilfitri, Neelofa disiasat lagi langgar SOP

Polis menjalankan siasatan terhadap selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa dan keluarganya yang didakwa melanggar SOP kerana berkumpul semasa sambutan Aidilfitri di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Anuar Omar, berkata siasatan dilakukan susulan satu laporan polis dibuat semalam berhubung video yang tular melibatkan keluarga selebriti itu.

“Siasatan awal mendapati video tular berdurasi 26 saat itu dimuat naik melalui akaun Instagram kakak selebriti berkenaan sebelum dikongsi warganet di laman sosial Twitter.

“Video itu memaparkan ahli keluarga selebriti tersebut yang didapati berkumpul di sebuah rumah semasa sambutan 1 Syawal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes itu masih dalam tindakan dan disiasat mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

Video itu mula bertebaran di laman sosial selepas kakak Neelofa iaitu Noor Nabila memuat naik video sambutan Aidilfitri keluarga mereka di Twitter.

Ia turut dikongsi warganet sejak tengah hari semalam. Menerusi video dengan kapsyen “1 Syawal yang penuh mulia” itu kelihatan ahli keluarga Neelofa dikatakan berkumpul pada pagi Syawal dan bersalaman antara satu sama lain.

Anuar berkata, orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan ditetapkan kerajaan.

“Sebarang aktiviti bertentangan dengan SOP termasuk penyalahgunaan permit merentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei hingga 7 Jun dan melarang aktiviti kunjung-mengunjung pada Aidilfitri.

Sebelum ini, Neelofa pernah mencetuskan kontroversi apabila melanggar SOP dengan merentas negeri ke Pulau Langkawi, Kedah dan Nilai, Negeri Sembilan bersama suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/18/dakwaan-langgar-sop-sambut-aidilfitri-neelofa-disiasat-lagi/