Kedutaan Republik Rakyat China ke Malaysia hari ini berbesar hati menyumbangkan RM100,000 kepada JAWI Food Bank, sebuah program agihan makanan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Menurut kenyataan JAWI, sumbangan tersebut akan digunakan bagi menjayakan misi bantuan Musaadah dan inisiatif Ramadan Prihatin melalui JAWI Food Bank yang bakal memberikan manfaat kepada penerima.
Antara penerima JAWI Food Bank ialah petugas barisan hadapan keselamatan dan kesihatan, B40, peniaga kecil, saudara baru, ibu tunggal, pemandu teksi dan bas sekolah, pemandu p-hailing dan e-hailing, gelandangan termasuk rakan bukan Islam.
Penyampaian replika cek berjumlah RM 100,000 telah diserahkan Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Ouyang Yujing kepada Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail pada satu majlis yang berlangsung di ibu negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan , Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Sumbangan oleh Kedutaan Republik Rakyat China ke Malaysia kepada JAWI Food Bank ini adalah kali kedua setelah sumbangan yang serupa berjumlah RM200,000 pada Mei tahun lalu.
Sehingga kini JAWI Food Bank telah mengagihkan sumbangan bernilai RM3.3 juta yang memanfaatkan pelbagai golongan masyarakat yang terkesan dan memerlukan khususnya di Wilayah Persekutuan.