Keberkesanan vaksin mula berkurang mungkin jadi punca kes naik di Sarawak – KJ

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan berlaku penurunan dalam keberkesanan vaksin Covid-19 selepas tempoh tertentu yang menjadi punca kes di Sarawak meningkat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata justeru, pihaknya kini meneliti keperluan suntikan dos ketiga atau ‘booster’ terutama untuk golongan warga emas, terimunokompromi dan petugas kesihatan dalam usaha mengatasi situasi itu seperti yang dilakukan di negara lain.

“Jadi kita sama sekali tidak menolak kemungkinan itu,” katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku penurunan dalam keberkesanan vaksin Covid-19.

Keberkesanan vaksin mula berkurang mungkin jadi punca kes naik di Sarawak - KJ

Sarawak menyaksikan peningkatan dalam jumlah kes harian baru-baru ini dan mencatatkan 3,118 kes semalam.

Khairy berkata beliau akan berlepas ke Sarawak minggu depan untuk membincangkan langkah-langkah tambahan dengan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan penularan di negeri itu.

“Saya telah meminta agar syor-syor dibuat segera memandangkan kita akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) minggu depan,” katanya.

Beliau berkata KKM akan berbincang dengan Kerajaan Negeri Sarawak mengenai strategi seterusnya bagi menangani isu penularan wabak itu.

Khairy berkata langkah mengadakan ujian saringan, pengesanan dan isolasi adalah penting di Sarawak buat masa ini kerana apa yang berlaku di negeri itu mungkin berlaku di negeri lain dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Katanya orang ramai perlu dididik untuk bertanggungjawab terhadap status kesihatan mereka sendiri sebagai sebahagian daripada langkah kesihatan awam.

Beliau berkata individu bergejala perlu melakukan ujian kendiri dengan pantas serta terasing dan menambah bahawa teknologi pengesanan kontak yang baru akan diperkenal pada akhir bulan ini bagi membantu KKM dalam mengesan kontak rapat.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/590729

BACA JUGA : Kalau rasa nak bercuti ke Langkawi, ini langkah yang perlu anda ambil