Keabsahan kerajaan Muhyiddin tak pernah dibuktikan – Anwar

Keabsahan kerajaan Muhyiddin tak pernah dibuktikan – Anwar

Keabsahan kerajaan Muhyiddin tidak pernah dibuktikan

Saya membaca kenyataan Peguam Negara bertarikh 25 Jun di mana beliau menyatakan Agong hanya boleh memanggil sidang Parlimen hanya dengan nasihat dari Kabinet, sambil memetik Perkara 39, 40 dan 43 dan beberapa preseden. Saya melihat peruntukan yang dipetik tersebut selari dengan amalan norma Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

 

Keabsahan mana-mana ketua kerajaan dalam mana-mana sistem yang demokratik tergantung pada keupayaan beliau dalam merangkul kepercayaan majoriti Ahli-ahli Parlimen. Jika kerajaan itu tidak punya keabsahan, maka buang masa untuk kita bicara tentang mana-mana peruntukan di dalam Perlembagaan, kecuali mereka yang benar-benar mahu mengembalikan keabsahan.

 

Apa yang kita saksikan hari ini, undang-undang digunapakai sewenang-wenangnya bagi melindungi kerajaan yang tidak sah, maka kita Ahli-ahli Parlimen yang telah bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan mesti menyatakan sikap. Persoalan tentang keabsahan bukan hal teori.

 

Keabsahan kerajaan PN tidak pernah dibuktikan sejak ia mula didirikan tahun lalu, dan menurut mekanisme yang sah di dalam Demokrasi Berparlimen, kerajaan mesti menjawab persoalan kepercayaan di Parlimen. Namun, itu tidak berlaku, dan ini meletakkan kedudukan Perdana Menteri dan seluruh kabinet dalam keadaan tidak selamat.

 

Keabsahan kerajaan

Untuk kerajaan ini mendapat keabsahan, termasuk mendapatkan titah diraja, mereka mesti membuktikan sokongan majoriti mereka di Parlimen. Jika tidak, maka ia menampakkan kerajaan ini tidak serius tentang kebertanggungjawaban, dan negara akan berada di bawah sistem diktator. Mungkin ini sebab mengapa kerajaan PN enggan membuka Parlimen.

 

Tambahan pula, Perlembagaan menyatakan Pengisytiharan Darurat dan Ordinan Darurat mesti didebat dan diundi di Parlimen. Kegagalan PN untuk menghormati Parlimen telah meletakkan Malaysia di dalam zon bahaya krisis Perlembagaan.

Saya mengakui negara sedang berdepan dengan kemelut dan ini bukan masa untuk bermain politik. Sekarang adalah masa untuk bersatupadu, dan merungkai serta merencana tindakan yang tuntas.

Perlembagaan mesti dihormati, apatah lagi di saat krisis hari ini.

Sejarah telah menyaksikan banyak diktator yang mengambil kesempatan di saat kemelut bagi memajukan agenda jahat mereka sambil mengorbankan negara dan undang-undang.
Saya menggesa Perdana Menteri dan Peguam Negara untuk bersikap konsisten dalam memetik peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan, dan menerima Perlembagaan secara keseluruhannya, dan bukan petik ikut suka.

Kenyataan Peguam Negara berlatarbelakangkan kenyataan oleh Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun dilihat sebagai melampau dan menghina Istana Negara, dan ini akan mengheret negara ke lembah krisis Perlembagaan.

Agong hanya menyampaikan kekecewaan majoriti Ahli-ahli Parlimen dan rakyat Malaysia, apatah lagi kerajaan ini masih gagal mengawal wabak meski dikurniakan kuasa darurat.

Mengapa untuk mengadakan sidang Parlimen seolah-olah begitu payah dan sukar, sedangkan kilang-kilang, restoran-restoran dan kini ada beberapa Dewan Undangan Negeri juga sudah mula beroperasi?

Kita juga maklum bahawa ada usaha yang sistematik sedang digerakkan untuk menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen bagi melengahkan sesi Parlimen di saat kerajaan ini terus gagal mengemudi negara saat wabak.

Malaysia dilihat sebagai antara negara yang paling lemah di pelbagai segi dalam mengawal pandemik, samada perolehan vaksin, tahap ujian saringan dan penggunaan langkah PKP. Dalam masa yang sama, ekonomi negara terus lingkup di mana jutaan warga akan jatuh miskin. Malah, ada beberapa pakar ekonomi juga meramalkan kita akan menghadapi kemelesetan yang panjang.

Mungkin sudah terlambat untuk membetulkan keadaan, tapi untuk mula membetulkannya, Parlimen mesti segera bersidang.

Sumber: