Modus operandi sarang pelacuran disebalik rumah banglo mewah.Sewa banglo mewah sebagai sarang pelacuran bagi tempoh masa singkat bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Itu modus operandi digunakan satu sindiket pelacuran wanita warga Vietnam yang mempromosikan kegiatan itu di media sosial.
Sindiket berkenaan juga mengupah pembawa atau dikenali sebagai transporter untuk membawa wanita berkenaan ke banglo berkenaan yang terletak di Jalan Klang Lama, di sini.
Seorang lelaki yang juga transporter berusia 20-an memaklumkan dia dibayar RM100 bagi menghantar wanita berkenaan ke banglo terbabit.
“Saya dimaklumkan mengenai kerja ini oleh rakan. Saya diminta membawa enam wanita dari lokasi mereka di Cheras ke rumah banglo ini.
“Bagi setiap trip (perjalanan pergi dan balik), saya membawa tiga wanita dengan bayaran RM100. Kenderaan yang digunakan bagi membawa mereka adalah kereta saya sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi tadi.
Dalam serbuan bermula 8.30 malam tadi, seramai 16 wanita warga Vietnam serta enam lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter dan ejen ditahan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya melakukan risikan terhadap aktiviti sindiket berkenaan selama beberapa hari sebelum melakukan serbuan.
“Dalam serbuan ini, kami menahan 16 wanita warga Vietnam berusia antara 21 hingga 31 tahun yang dipercayai melakukan kegiatan pelacuran.
“Selain itu, kami menahan lima lelaki tempatan yang berperanan sebagai transporter dan seorang lelaki tempatan yang juga ejen bagi sindiket pelacuran berkenaan berusia antara 21 hingga 33 tahun,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, awal pagi tadi.
Mohamad Noor berkata, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan mempromosikan kegiatan itu melalui media sosial termasuk WeChat, WhatsApp, Telegram dan Instagram.
“Ejen sindiket ini akan membuat tawaran dengan pelanggan di media sosial sebelum menetapkan lokasi seperti kondominium serta banglo mewah dan harga (bagi khidmat pelacur).
“Dalam serbuan ini, perkhidmatan wanita berkenaan bagi menemani pelanggan minum (arak) serta berhibur selain perkhidmatan seks dikenakan bayaran antara RM1,300 hingga RM2,500 bagi setiap seorang (pelacur) bagi tempoh masa bermula malam ini (semalam) hingga tengah hari esok (hari ini),” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu menyewa banglo mewah berkenaan yang mempunyai tujuh bilik pada harga RM3,600 sehari.
“Di dalam rumah banglo ini, terdapat peralatan disko, meja permainan pool dan lain-lain kelengkapan untuk aktiviti hiburan.
“Pada masa sama, kami turut menyiasat sekiranya ada berlaku kegiatan penyalahgunaan dadah dalam serbuan ini,” katanya.
Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati hanya seorang daripada 16 wanita warga Vietnam yang ditahan tidak mempunyai pasport.
“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan; Seksyen 55B(1), Seksyen 15(1) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63, serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/10/765648/sarang-pelacuran-di-banglo-mewah