Kantoi bagi ‘duit kopi’ RM150 untuk rentas negeri, lelaki kena tahan

Kantoi bagi ‘duit kopi’ RM150 untuk rentas negeri, lelaki kena tahan

Tindakan seorang lelaki cuba memberi sogokan RM150 kepada anggota polis untuk merentas negeri membawa padah apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungkai kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, lelaki tempatan berusia 47 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Teluk Intan dengan membawa tiga lelaki warga Bangladesh.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketiga-tiga warga asing itu mempunyai dokumen yang sah namun tiada surat kebenaran rentas negeri.

Katanya, kesemua mereka ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

“Lelaki itu ditahan setelah cuba beri duit RM150 kepada anggota polis kerana tiada surat rentas negeri dan pada masa sama membawa tiga lelaki Bangladesh.

“Saya nasihatkan kepada pengguna jalan raya yang tiada surat rentas negeri, agar membuat permohonan kerana tindakan tegas akan diambil bermula sekarang,” katanya ketika ditemui semasa meninjau SJR di Plaza Tol Ipoh Selatan arah utara di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan beliau berkata, sebanyak 9,095 kompaun dikeluarkan terhadap individu atas pelbagai kesalahan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh itu juga, sebanyak 5,479,612 kenderaan diperiksa ketika melalui SJR dengan purata sebanyak 17,563 kenderaan sehari.

“Sehingga hari ini sebanyak 33 lokasi SJR didirikan di seluruh negeri termasuk empat SJR Op Benteng dengan kekuatan 290 orang pegawai polis dan 209 orang daripada pasukan sahabat.

“Sebanyak 457 pasukan pemantau pematuhan turut digerakkan bagi memantau pematuhan SOP di premis-premis perniagaan dan tempat tumpuan ramai,” katanya.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/03/12/hulur-rm150-bagi-lepas-rentas-negeri/