Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat keputusan mengenai tindakan susulan berhubung isu kalimah “Allah” selepas menerima alasan penghakiman secara bertulis daripada mahkamah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan; membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrance Bill, seorang penganut Kristian dari Sarawak, untuk menggunakan kalimah itu dalam pendidikan agamanya.
Menteri Hamzah Zainudin dalam kenyataan berkata, kementerian mengambil maklum keputusan mahkamah berkaitan isu kalimah Allah dan hal lain yang dibawa oleh Ireland.
“KDN akan memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan selepas menerima alasan penghakiman secara bertulis dari pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahupun tafsiran sendiri ke atas keputusan tersebut dan meminta semua pihak untuk menghormati proses perundangan dan kehakiman negara,” katanya.
Selain kalimah Allah, keputusan mahkamah itu turut menyentuh larangan ke atas penggunaan “Baituallah”, “Solat”, dan “Kaabah”.
“Undang-undang itu hanya untuk menangani (isu) penerbitan yang tidak diingini. Ia bukan undang-undang umum untuk menangani ketenteraman awam, dan moral,” kata Hakim Noor Bee Ariffin.