Kajian dapati Pakatan Harapan mendahului dari sudut undi popular

Perpecahan dalam blok parti-parti membentuk kerajaan bakal memberi kelebihan kepada blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) untuk mendahului undi popular iaitu sebanyak 36 peratus, berbanding Perikatan Nasional (PN) sebanyak 31 peratus.

Berdasarkan kaji selidik dijalankan sebuah firma penyelidikan, O2 Research Malaysia antara 26 Mac hingga 9 April, Barisan Nasional (BN) sebaliknya hanya menduduki tangga ketiga tertinggi dalam meraih undi popular sebanyak 22 peratus, diikuti parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) 11 peratus.

Bagaimanapun, hasil dapatan firma itu turut menunjukkan blok konservatif atau haluan kanan mampu meraih sokongan undi popular setinggi 53 peratus berbanding blok pembangkang atau liberal sebanyak 47 peratus, hanya sekiranya parti-parti dalam blok itu tidak berpecah.

“Dengan perpecahan berlaku antara parti-parti blok kanan dan kiri akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan dengan populariti tertinggi pada 36 peratus, diikuti PN (31 peratus), seterusnya BN (22 peratus) dan Muda 11 peratus,” kata Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasil dapatan satu kaji selidik diusahakan O2 Research Malaysia pada penggal pertama tahun 2021 bagi meneliti tahap sokongan dan kecenderungan pengundi terhadap arus perkembangan politik semasa negara.

Seramai 1,602 responden telah terlibat yang terdiri daripada 54 peratus kaum Melayu Semenanjung, 28 peratus kaum Cina, 11 peratus kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak dan 7 peratus kaum India.

Sementar itu, peringkat umur yang dipilih adalah responden dari usia 18 tahun dan ke atas dengan kaedah persampelan responden dilakukan dengan rawak berstrata yang mewakili segenap kumpulan umur, jantina, kepelbagaian etnik dan negeri.

Sementara itu, Anis Anwar turut mendedahkan dapatan kajian menunjukkan pengundi BN dan Pas mempunyai kecenderungan sedikit berbeza terhadap bentuk kerjasama politik berteraskan konsep ‘Penyatuan Ummah’.
Jelas beliau, tinjauan pihaknya mendapati 59 peratus penyokong BN lebih cenderung menyokong Muafakat Nasional (MN), berbanding 41 peratus menyokong PN.

“Namun, kecenderungan berbeza ditunjukkan pengundi cenderung Pas yang lebih menerima PN setinggi 67 peratus berbanding sokongan terhadap MN sebanyak 33 peratus.

“Tinjauan dijalankan turut mendapati pengundi BN dan Pas lebih cenderung kerjasama antara BN dan PN diadakan dalam bentuk kerajaan campuran sekiranya tiada parti mampu membentuk kerajaan sendirian.

“Dapatan menunjukkan seramai 66 peratus penyokong BN dan 53 peratus penyokong Pas bersetuju dengan pembentukan kerajaan PN dan BN, manakala hanya 21 peratus penyokong BN sahaja yang mahu terima jajaran baharu BN-PH bagi bentuk kerajaan,”katanya.

Tambah Anis Anwar, majoriti penyokong PH hanya menunjukkan tahap sokongan rendah kepada semua bentuk kerajasama politik antara PH dengan mana-mana parti lain jika ingin mendirikan kerajaan campuran.

“Sebanyak 39 peratus penyokong PH bersetuju pembentukan kerajaan campuran antara PH dan PN dan 28 peratus bersetuju dengan pembentukan kerajaan campuran PH dan BN.

“Tahap sokongan yang rendah menjadi indikator mereka lebih rela PH tidak menjadi kerajaan jika gabungan itu gagal mendapatkan majoriti mudah pada PRU15 akan datang,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/139436/BERITA/Politik/Pakatan-Harapan-dahului-undi-popular