Jurnal sains terkemuka dunia iktiraf usaha bekas menteri alam sekitar dari PH

Jurnal sains terkemuka dunia iktiraf usaha bekas menteri alam sekitar dari PH

KETIKA sedang bekerja menilai telaga minyak di gurun Turkmenistan, Yeo Bee Yin terfikir tentang dunia yang lebih baik tanpa kebergantungan penuh kepada tenaga fosil.

Berbekalkan sijil sarjana dalam bidang kejuruteraan kimia dari University of Cambridge, United Kingdom, anak kelahiran Segamat, Johor itu pulang ke tanah air pada 2010 untuk mengejar impiannya itu dengan menceburi politik.

Tsunami politik melanda negara pada 9 Mei 2018 telah mengubah wajah pentadbiran Malaysia, membawa muka-muka baharu dalam kabinet termasuk Bee Yin sebagai Ahli Parlimen Bakri.

Beliau seterusnya dilantik sebagai Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Lima tahun menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan mengkritik polisi kerajaan terdahulu, kini beliau berada di posisi yang terbaik untuk mengubahnya.

Kedudukan sebagai Menteri dimanfaatkan Bee Yin, yang pantas melaksanakan perubahan dengan mengumumkan matlamat meningkatkan penjanaan penjanaan tenaga boleh diperbaharui dari 2 peratus kepada 20 peratus menjelang 2030 sebagai usaha mengubah pasaran elektrik dan menambah baik keberkesanan tenaga di negara ini.

Nature merupakan jurnal sains pelbagai bidang terkemuka dunia berusia 149 tahun. - Gambar nature.com

Nature merupakan jurnal sains pelbagai bidang terkemuka dunia berusia 149 tahun. – Gambar nature.com

Bee Yin pada masa sama amat risau tentang pencemaran plastik, terutamanya penggunaan plastik sekali guna. Kerisauannya juga adalah kerisauan dunia, yang semakin tenat dek lambakan sisa plastik yang tidak terurai membunuh alam sekitar.

Pada 31 Oktober, Bee Yin melancarkan pelan tindakan dan rangka kerja 12 tahun dan untuk menyingkirkan penggunaan plastik sekali guna di Malaysia menjelang 2030.

Usahanya tidak menggembirakan seluruh masyarakat, leceh, tak biasa hidup tanpa straw dan plastik pembungkus. Namun itu yang dirasakan terbaik demi kemandirian hidupan di muka Bumi ini, dan usahanya diiktiraf jurnal sains terkemuka dunia, Nature, yang mengangkatnya sebagai salah seorang daripada 10 individu penting tahun 2018.

“Beliau memerangi pencemaran plastik – yang semakin memburuk di Asia Tenggara. Beliau juga lantang mengkritik aliran masuk sisa plastik ke Malaysia, dan membantu dalam menetapkan pengharaman di seluruh negara terhadap import plastik,” memetik tulisan jurnal tersebut.

Bee Yin lantang memperjuangkan alam sekitar sejak sebelum menjadi menteri lagi. - Gambar nature.com

Bee Yin lantang memperjuangkan alam sekitar sejak sebelum menjadi menteri lagi. – Gambar nature.com

Pengurangan penggunaan plastik tidak akan menyelesaikan sepenuhnya masalah penghasilan sisa plastik, dan menyedari hakikat itu kerajaan juga menyeru dan menggalakkan lebih banyak kajian dan pengkomersialan alternatif yang lebih mesra alam seperti plastik boleh lupus dilaksanakan.

Nature pertama kali diterbitkan pada 1869, merupakan jurnal lapangan sains pelbagai bidang yang paling berkredibel dan menjadi rujukan utama dunia.

Menyertai Bee Yin dalam senarai 10 individu penting tahun ini bukanlah calang-calang manusia.

Mereka adalah ahli paleogenetik, Viviane Slon; ahli fizik, Jess Wade; ahli kaji iklim, Valerie Masson-Delmotte; ahli kaji bintang, Anthony Brown; pakar genetik, Barbara Rae-Venter; ahli penerbitan saintifik, Robert-Jan Smits; penkaji asteroid, Makoto Yoshikawa; prodigi fizik, Yuan Cao dan saintis genetik, He Jiankui.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/yeo-bee-yin-diiktiraf-jurnal-sains-terkemuka-dunia-194058