Jumlah kematian akibat banjir meningkat, kini 34 kes direkodkan.Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lepas, sehingga kini telah mengorbankan 34 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.
Dua puluh tiga daripadanya di Selangor manakala 11 orang lagi di Pahang.
Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata sehingga petang Selasa sebanyak lebih 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu, lapor Bernama.
Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaharu di Klang.
Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sebanyak 12 mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat sejak Sabtu lepas sehingga 7 malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata antara lain enam daripada mayat berkenaan ditemui di dalam beberapa rumah melibatkan lima wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui sekitar Taman Sri Muda selepas air mulai surut.
“Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada pukul 6 petang Sabtu manakala dua mangsa lelaki ditemui keesokannya pada pukul 12 tengah hari dan 2 petang, lima mayat ditemui semalam antara pukul 12 tengah hari dan 8.35 malam melibatkan empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Norazam berkata mayat seorang wanita lagi ditemui pada pukul 6.20 petang di sebuah rumah setingkat. Wanita itu dipercayai mati lemas.
Tiga mayat mangsa lemas turut ditemui di sekitar bandar raya itu, masing-masing di lampu isyarat Kemuning Utama, Seksyen 33; di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lepas; dan di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 semalam.
Sementara itu, banjir yang melanda Pahang sejak hujung minggu lalu telah meragut 11 nyawa setakat Selasa dengan angka kematian dijangka meningkat ekoran beberapa mangsa yang masih hilang dikhuatiri lemas.
Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Yusoof, sebanyak lapan kematian direkodkan di Bentong, dua di Kuantan dan satu di Raub.
Pada 2014 banjir besar yang melanda lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang dilapor hilang.