Johor sudah bersedia benarkan saf solat jemaah dirapatkan, tiada lagi penjarakan

Jemaah

Johor sudah bersedia benarkan saf solat jemaah dirapatkan, tiada lagi penjarakan.Johor sudah bersedia untuk membenarkan jemaah merapatkan saf ketika solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini seperti sedia kala dan tidak lagi perlu melakukan penjarakan fizikal.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, cadangan itu akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mendapatkan perkenan Baginda pada minggu depan.

Beliau berkata, satu mesyuarat bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor akan diadakan bagi melengkapkan kertas cadangan tersebut sebelum dipersembahkan kepada Sultan Ibrahim.

Tambahnya, ramai yang bertanyakan kepada pihaknya bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu sebelum penularan Covid-19 setelah Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Tosrin Jarvanthi

“Oleh itu, kita akan perincikan kertas cadangan prosedur operasi standard (SOP) baharu solat jemaah di masjid dan surau pada minggu depan sebelum dipersembahkan kepada Baginda Tuanku.

“Dua cadangan yang akan diketengahkan dalam kertas cadangan itu ialah solat jemaah dengan kapasiti penuh masjid dan surau tanpa penjarakan sosial dan solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial.

“Insya-Allah, diharap tatacara SOP baharu solat berjemaah di masjid dan surau di negeri ini tanpa penjarakan fizikal akan diperkenalkan pada awal Januari depan setelah diperkenan Sultan Johor,” katanya pada sidang akhbar sempena Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14, di sini hari ini.

Tosrin memberitahu, pihaknya juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan sebelum mempersembahkan cadangan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.

Pada bulan lalu, Johor membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri ini dilaksana dengan mengikut had satu pertiga daripada kapasiti masjid atau surau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu itu, Johor turut membenarkan solat fardu lima waktu dan solat jenazah mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Mengulas lanjut, Tosrin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, cadangan pengenalan SOP baharu solat berjemaah tanpa penjarakan sosial itu tertakluk kepada situasi Covid-19 semasa di negeri ini.

“Bagaimanapun, jemaah perlu mematuhi SOP sedia ada seperti perlu lengkap dua dos vaksin. Kita juga akan memastikan semua pegawai masjid dan surau negeri ini yang terdiri daripada imam, bilal dan noja sudah lengkap divaksin,” katanya.

BACA: Kapal angkasa dilancar hari ini untuk ‘rempuh’ asteroid

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar

    […] BACA: Johor sudah bersedia benarkan saf solat jemaah dirapatkan, tiada lagi penjarakan […]