JK Khas Darurat : Mana suara PM?

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang masih berdiam diri berhubung persoalan sama ada Kabinet ataujawatankuasa khas bebas yang bertindak menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung darurat.

Katanya, meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan telah memberi penjelasan berkaitan perkara itu, ia belu memadai tanpa penegasan Muhyiddin.

“Ini tidak cukup baik selagi Muhyiddin masih berdiam diri tentang sama ada Jawatankuasa Khas Bebas Darurat adalah satu-satunya autoriti dan bukan Kabinet atau menteri, yang akan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong jika darurat perlu dilanjutkan.

“Saya menasihati seluruh 19 ahli jawatankuasa yang diketuai Arifin Zakaria untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri dan mendapatkan jaminan daripadanya, bahawa jawatankuasa khas dan bukan Kabinet atau menteri yang akan menasihati Yang di- Pertuan Agong mengenai sama ada darurat perlu dilanjutkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Lim, perkara itu tidak akan dimuktamadkan jika kerajaan masih ‘flip flop’ berhubungnya.

Semalam, Takiyuddin berkata kerajaan tetap mengiktiraf Jawatankuasa Bebas Khas Darurat yang dibentuk dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Takiyuddin berkata, kenyataan medianya berhubung peranan kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkaitan perisytiharan darurat telah dipetik di luar konteks.

Dia juga berkata kerajaan juga tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya

Dalam pada itu Lim berkata, berdasarkan pemahamannya berhubung kenyataan Takiyuddin sebelum ini, penentuan sama ada darurat dilanjutkan atau tida adalah Kabinet, bukannya jawatankuasa khas berkenaan.

Katanya lagi, Takiyuddin hanya menjelaskan yang kerajaan tidak masuk campur dalam urusan jawatankuasa tersebut.

“Dari sudut pandangTakiyuddin, sama ada Jawatankuasa khas memberikan nasihatnya atau tidak sama sekali tidak penting dan tidak relevan kerana nasihat Kabinet atau menteri yang akan menjadi kata penentu dalam isu ini.

“Jika Muhyiddin tidak bersedia untuk memberi jaminan kepada jawatankuasa khas yang ia akan memberi kata penentu, lebih baik bubarkan saja jawatankuasa khas ini,” katanya lagi.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/578831