Jika PKP berterusan 500,000 lagi bakal hilang kerja

Sebuah persatuan peruncit memberi amaran bahawa perniagaan milik Bumiputera kini “di ambang kematian” jika PKP berterusan kerana kekurangan bantuan kerajaan untuk membantu mereka bertahan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO) Ameer Ali Mydin, semua perniagaan sedang bergelut ketika ini.

“Jika satu perniagaan milik orang Cina gulung tikar, kemungkinan 10 perniagaan orang Melayu akan alami nasib yang sama,” katanya kepada FMT.

“Realitinya adalah komuniti perniagaan Cina sangat mahir dalam perniagaan. Ramai yang telah lama berniaga dan memiliki simpanan. Oleh itu, jika satu (perniagaan Cina) tutup, itu adalah petanda buruk bagi kita.”

Beliau berkata, keadaan di mana kes Covid-19 masih tinggi sementara semakin kurang orang menjalani ujian saringan “kelihatan tidak baik”.

“Kita baca mengenai peningkatan kes sporadik. Pada kadar ini, sukar untuk melihat bagaimana sekatan dapat dilonggarkan.

“Walaupun anda (peniaga) berada dalam sektor perlu dan dibenarkan beroperasi, anda masih akan bergelut kerana kekurangan pelanggan,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya, perniagaan tidak mendapat moratorium pinjaman automatik dan ini tidak membantu.

“Kerajaan kata, ‘Mohon moratorium jika anda terkesan dan bank akan beri kelulusan secara automatik’, tetapi hakikatnya, ini tidak berlaku,” tambah beliau.

Ameer berkata, sebilangan besar daripada 52 ahli persatuannya, yang menggaji 30,000 pekerja, menghadapi masalah mendapatkan moratorium dan bantuan, malah bank tidak meluluskan permohonan secara automatik.

“Ahli-ahli kami memberitahu, bank meminta perincian aliran tunai, akaun dan unjuran pendapatan mereka.

“Apa yang mereka harapkan untuk lihat? Kami hampir-hampir gulung tikar dan tiada petanda PKP akan ditamatkan,” katanya.

PKP 3.0 mula berkuat kuasa pada 1 Jun dan dilanjutkan hingga 28 Jun, namun Ameer berkata, beliau tidak menjangkakan ia akan ditamatkan seperti yang dirancang.

“Kami menganggarkan, jika PKP 3.0 ini diteruskan sebulan lagi, sekurang-kurangnya 500,000 orang dalam sektor peruncitan sahaja akan kehilangan pekerjaan,” tambah beliau.

Beliau menggesa kerajaan untuk melonggarkan sekatan dalam sektor-sektor di mana tidak banyak kes Covid-19 dikesan.

“Kilang-kilang yang dikenal pasti mencatatkan banyak kes masih kekal dibuka. Kenapa tidak benarkan peruncit, yang menyumbang hanya 0.8% daripada kluster pada Mei, sebelum PKP 3.0, untuk beroperasi penuh?

“Kami harap keputusan dapat dibuat berdasarkan bukti dan data saintifik yang relevan,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/23/perniagaan-milik-bumiputera-di-ambang-kematian-putrajaya-diberitahu/

COMMENTS

Wordpress (0)