Jika lakukan 6 kesalahan trafik ini atas jalan raya, anda terus akan dibawa kes ke mahkamah

Jika lakukan 6 kesalahan trafik ini atas jalan raya, anda terus akan dibawa kes ke mahkamah. Pengguna jalan raya yang dikesan melakukan enam kesalahan utama melalui Op Selamat 18 sempena Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei depan, tidak akan lagi dikenakan kompaun, sebaliknya perlu menyelesaikan kes itu di mahkamah.

Enam kesalahan itu ialah memandu melebihi had laju ditetapkan, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, berkata berdasarkan hasil Op Selamat 17 sempena sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini, masih ramai pengguna jalan raya didapati tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Jika lakukan 6 kesalahan trafik ini atas jalan raya, anda terus akan dibawa kes ke mahkamah

“Justeru, kita menggunakan Op Selamat 17 sebagai panduan. Kita sudah mengklasifikasikan enam kesalahan utama yang tidak akan dikompromi, dengan pesalah akan dibawa terus ke mahkamah.

“Masyarakat perlu akur dan berhati-hati. Kita perlu imbangkan antara keselamatan diri dengan kegembiraan menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Jelajah Op Selamat 18 sempena Aidilfitri bersama PETRONAS dan Go To Safety Point (GTSP) di Stesen PETRONAS Solaris Putra, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Bahagian Perniagaan Runcit PETRONAS, Khalil Jaffri Muhammad Muri.

Melalui Op Selamat 17 dari 28 Januari hingga 6 Februari lalu, sebanyak 308,726 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala enam kesalahan utama terbabit boleh dikenakan kompaun hingga RM300.

Mengulas lanjut, Mat Kasim memaklumkan, Op Selamat 18 akan dilancarkan pada 26 April ini, manakala operasi dijadualkan bermula 29 April hingga 8 Mei depan, dengan mengekalkan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi.’

Mengenai Jelajah Op Selamat 18 pula, beliau berkata, program itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di 47 stesen minyak PETRONAS seluruh negara.

“Seramai 222 anggota dari Bukit Aman dan negeri akan terbabit dalam program jelajah ini bersama kakitangan PETRONAS.

“Mereka akan berkonvoi dan menjalankan advokasi sambil menyantuni masyarakat mengenai kepentingan mematuhi peraturan demi keselamatan diri serta keluarga, di stesen minyak PETRONAS yang terpilih,” katanya.

Sementara itu, Khalil Jaffri berkata, pihaknya berharap program berkenaan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat, terutama mengenai aspek keselamatan di jalan raya dan rumah sempena Aidilfitri.

Beliau turut memaklumkan, program GTSP yang kini dijalankan di lebih 800 stesen minyak PETRONAS seluruh negara, bertujuan membantu orang ramai jika berada dalam kecemasan seperti berlaku rompakan atau kemalangan, di stesen minyak PETRONAS.

“Kru PETRONAS dilatih untuk membantu memberi bantuan kecemasan kepada mangsa, selain menghubungi polis dan hospital serta ambulans jika mangsa cedera,” katanya.

TONTON :

BACA:
Kerajaan senaraikan 22 harga barang ini sempena Aidilfitri

Siti Bainun kena ‘troll’ lagi, kalini menang anugerah pula, berdekah tengok..

Kisah lelaki serah kesemua wang KWSP RM10K kepada ibu tercinta jadi perhatian

CATEGORIES