“Jika akta sekat agama bukan Islam dibawa ke kabinet, kami akan bantah” – PBS

“Jika akta sekat agama bukan Islam dibawa ke kabinet, kami akan bantah”.Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal teguh bersama rakyat untuk berjuang dan mempertahankan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Ongkili berkata, Kabinet Persekutuan tidak pernah membincangkan mengenai Roadmap Pelan Tuju Pemerkasaan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung empat cadangan rang undang-undang (RUU) baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) ini berkata, setakat ini, RUU yang dicadangkan berkaitan agama Islam oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary, tidak pernah dibawa ke Kabinet, sama ada untuk perbincangan atau persetujuan.

“Kemungkinan, perkara berkenaan masih di peringkat awal dan perbincangan dalaman di Bahagian Hal Ehwal Agama,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

agama

Beliau turut yakin sekiranya perkara itu dibangkitkan, rakan-rakan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), seperti PBS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), MCA, MIC, dan parti politik lain akan bersuara bagi menyatakan pendirian masing-masing untuk menentang jika undang-undang yang diusulkan itu mempunyai kesan atau menjejaskan kebebasan masyarakat bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka.

Maximus berkata, PBS yakin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghormati kebebasan ini yang menjadi aset berharga negara sejak penubuhan Persekutuan Malaysia.

Katanya, ia juga selari dengan visi Perdana Menteri untuk membina Keluarga Malaysia.

“Kami (PBS) akan tetap berdiri teguh, bersama rakyat untuk memperjuangkan dan mempertahankan kebebasan beragama, seperti yang kita nikmati selama ini, kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.

“PBS memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, kami akan sentiasa setia dan kekal pada perjuangan dan matlamat politik, termasuk mempertahankan hak kebebasan beragama,” katanya.

Sebelum ini, dalam gambar yang disebarkan berkaitan cadangan empat akta baharu adalah RUU Wakaf, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan RUU Kawalan dan Sekatan terhadap Pengembangan Agama Bukan Islam

Berita Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2021/09/08/pbs-teguh-bersama-hak-rakyat-untuk-bebas-beragama

BACA: Seramai 3,632 penerima vaksin di Selangor belum dapat sijil di MySejahtera