Jemaah tanpa kad pintar tak dibenar tunai haji

Jemaah tanpa kad pintar tak dibenar tunai haji

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan tiada jemaah yang dibenarkan menunaikan haji tanpa kad pintar dan permit rasmi, pada tahun ini.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan tiada jemaah yang dibenarkan menunaikan haji tanpa kad pintar dan permit rasmi, pada tahun ini.

Arab News melaporkan, ia bagi memastikan kepatuhan terhadap langkah keselamatan susulan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Dr Abdulfattah Mashat memaklumkan permit itu akan dipadankan dengan kad elektronik dan kad pengenalan jemaah.

Beliau turut memaklumkan tiada platform untuk membuat permohonan menunaikan haji kecuali laman web rasmi kementerian.

“Mana-mana syarikat yang menawarkan pakej perkhidmatan di luar platform kementerian melanggar sistem.

“Pada tahap pertama aplikasi Eatmarna, kami dapati beberapa ada pelanggaran oleh beberapa entiti dan individu tetapi kesedaran masyarakat dilihat mula meningkat,” katanya.

Menurut Abdulfattah, ibadat haji tahun ini akan menggunakan permit melalui platform Absher sahaja.

Katanya, maklumat bagi mereka yang membeli pakej haji mereka di platform kementerian akan dihubungkan dengan Absher dan kad pengenalan mereka.

Mashat berkata, lebih 70,000 permohonan diterima pada hari Rabu jam 5 petang dan kesemuanya memenuhi syarat imunisasi serta tidak pernah menunaikan haji sebelum ini.

Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah meminta semua jemaah domestik yang berhubung dengan kementerian untuk mematuhi peraturan kesihatan bagi membolehkan mereka menunaikan haji.

Kementerian memaklumkan lokasi penempatan jemaah akan menerapkan prosedur pemeriksaan visual dan haba semasa pintu masuk dan pergerakan jemaah.

Hotel yang diperuntukkan di Makkah dan Madinah mesti memenuhi syarat yang disenaraikan oleh Kementerian Pelancongan, Kementerian Haji dan Umrah, dan badan lain yang berkenaan dengan pemantauan tempat tinggal jemaah.

“Pihak hotel mesti mengambil kira langkah berwaspada untuk mengelakkan kesesakan di dalam bilik.

“Hotel juga harus menyediakan perkhidmatan katering untuk setiap jemaah di bilik tidur kerana bufet terbuka dilarang.

“Panduan kesihatan daripada pihak berkuasa yang berkenaan akan tersedia semasa kehadiran jemaah di kawasan haji dan ketika mereka bergerak sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Jemaah haji dikehendaki berjumpa doktor sekiranya mereka mengesyaki simptom Covid-19 untuk memastikan keselamatannya dan orang lain.

“Sementara itu, jarak sosial akan dilaksanakan sepanjang perhimpunan jemaah haji di dua masjid di Makkah dan Madinah serta kawasan pusat kedua-dua lokasi itu.

“Ia sesuai dengan keperluan kesihatan di bangunan kediaman dan khemah, manakala beg serta bagasi jemaah haji akan disanitasi secara berkala.

“Pengawal keselamatan akan memudahkan keluarnya jemaah dari tempat suci mengikut masa yang diperuntukkan untuk mereka dan memastikan kepatuhan kepada jumlah jemaah yang dibenarkan dalam satu tempat tidak melebihi 50 orang,” katanya.

Nombor tempat duduk di bas akan diberikan kepada setiap jemaah sepanjang perjalanan haji dan berdiri di dalamnya (bas) tidak dibenarkan serta ada tempat duduk kosong di antara setiap jemaah yang dilarang membawa barangan peribadi.

Sekiranya penumpang mengesyaki simptom Covid-19, bas akan dihentikan dan disanitasi.

Kementerian Kesihatan dan Haji mengumumkan pada hari Sabtu yang sejumlah 60,000 jemaah akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini bermula pertengahan Julai.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/global/asia/2021/06/720240/tiada-jemaah-dibenar-tunai-haji-tanpa-kad-pintar