Jarakkan diri dari kerajaan PN, pesan Tok Mat kepada MP Umno

kerajaan

Jarakkan diri dari kerajaan PN.Semua ahli Parlimen yang mewakili UMNO di Dewan Rakyat diseru menjarakkan diri darpada diheret ke dalam krisis yang sedang berlaku di antara kerajaan dengan pihak istana.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, ahli Parlimen dari UMNO tidak boleh berada dalam kedudukan dan pendirian yang boleh ditafsirkan sebagai menyanggah teguran istana.

Ini kerana jelas beliau, istana adalah institusi yang UMNO telah berikrar akan taat dan pertahankan.

“Saya menyeru kebijaksaan dan hikmah semua Ahli Parlimen UMNO untuk melakukan perkara yang benar dan selari dengan pendirian parti.

“Tiada apa jua alasan dapat digunakan untuk mempertahankan kerajaan yang telah dilihat nyata ingkar, culas dan gagal dalam melaksanakan titah dan nasihat Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

kerajaan

Ujar Mohamad lagi, kesetiaan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada raja, negara dan parti.

“Pilihan wakil rakyat UMNO adalah jelas kecuali mereka memilih sebaliknya, pada saat negara dan rakyat telah hilang segala keyakinan kepada kerajaan PN.

“Saya selalu berpesan agar kita selalu bermuhasabah dan sentiasa sedar dan arif tentang asal-usul kita. Jangan hingga jadi seperti kata pepatah diberi berkuku, hendak mencengkam,” kata beliau lagi.

Sementara itu, jelas beliau, pendirian rasmi UMNO dalam isu yang dihadapi ketika ini telahpun dinyatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.

Sehubungan ujar Mohamad, semua ahli dan pendukung setia parti, walau apa pun kedudukan, jawatan dan pangkat sama ada di dalam dan di luar kerajaan, wajib akur dan patuh terhadap pendirian tersebut.

“Pendirian rasmi UMNO adalah keputusan kolektif parti. Ia selari dengan suara akar umbi di Perhimpunan Agung UMNO dan telah diperhalusi dan diabsahkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada 7 Julai yang lalu.

“Susulan pencerahan dari Istana Negara kelmarin maka bertambah kukuh lagi kebenaran pendirian parti. Kerajaan telah jelas membelakangkan institusi diraja, melakukan tindakan tidak berpelembagaan dan tidak berlaku benar di Parlimen yang mulia,” katanya.

Ujar Mohamad lagi, jawapan balas kerajaan terhadap kenyataan Istana Negara pula telah menyusutkan lagi keadaan.

“Kenyataan tersebut telah menjuruskan Malaysia ke suatu krisis Perlembagaan yang serius. Sikap kerajaan jelas angkuh dan tiada kesusilaan terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya

Berita Penh :https://www.utusan.com.my/terkini/2021/07/ahli-parlimen-umno-perlu-selari-dengan-pendirian-parti/

BACA :Panas !!! PM interim perlu dilantik atasi krisis perlembagaan