“Jangan kata nak dapat untung, malah hanya tanggung rugi”, keluh peniaga bazar Aidilfitri

“Jangan kata nak dapat untung, malah hanya menanggung rugi,” luah seorang peniaga di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman, Mohd Hazani Husin, malam ini.

Mohd Hazani, 40, yang menjual baju kurung dan baju Melayu berkata, dia meletakkan harga RM140 sepasang pada awal pembukaan bazar berkenaan.

Bagaimanapun, menurutnya, disebabkan bazar akan berakhir malam ini sesuai dengan arahan terbaharu kerajaan, dia menjual pakaian berkenaan separuh harga iaitu RM70 sepasang bagi menghabiskan stok.

Katanya, hanya itu saja cara untuk menghabiskan stok baju yang masih lagi banyak dan memang tidak dapat untung apabila menjual baju pada harga itu.

“Saya mengeluarkan modal RM150,000 untuk perniagaan ini, namun sehingga hari ini, modal belum diperoleh dan selalunya tiga hari terakhir menjelang Aidilfitri adalah paling meriah kerana ramai pelanggan ketika ini.

“Bagaimanapun, kami (peniaga) sama sekali tidak menjangkakan perniagaan terpaksa ditutup awal. Malah beberapa hari sebelum bazar ini diumum tutup sepenuhnya, kami diarahkan supaya tutup lebih awal iaitu 10 malam.

“Keadaan itu menyebabkan kami kekurangan masa untuk menghabiskan stok, sekali gus mengakibatkan peniaga gagal meraih keuntungan,” katanya.

Peniaga biskut raya dan kerepek, Mohd Firdaus Wahab, 28, berkata, peniaga amat kecewa dengan keputusan penutupan bazar berkenaan.

“Sudah 10 tahun saya berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan sambutan pada tahun ini paling suram kerana tidak ramai pengunjung.

“Sebelum ini, kami dijanjikan boleh berniaga sehingga ke malam raya, namun ini pula yang terjadi. Mana mungkin dalam tempoh singkat ini kami dapat menghabiskan stok jualan.

“Pada hari terakhir ini, saya terpaksa melelong biskut pada harga antara RM15 hingga RM20 sebalang berbanding harga asal RM25, manakala kerepek dijual pada harga RM10 sepeket,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nurul Munirah Abdul Rahman, 29, berkata, dia datang bersama rakannya untuk membeli baju kurung di bazar berkenaan seawal 7.45 malam tadi.

Menurutnya, sebaik tiba, mereka lihat ramai orang beratur untuk memasuki bazar itu memandangkan ia adalah malam terakhir.

“Malah, ramai peniaga dilihat melelong pakaian serta biskut raya menjelang hari terakhir sebelum bazar ini ditutup.

“Lelongan itu menyebabkan ramai orang datang menyerbu kedai pada saat-saat akhir kerana harga ditawarkan amat murah,” katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di bazar berkenaan mendapati pengunjung beratur panjang dengan diawasi anggota polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Peniaga mula melelong barang jualan mereka bermula 8 malam dengan baju Melayu dijual pada harga RM30 sepasang, kurta (RM10) dan baju kurung (RM50).

Anggota penguat kuasa DBKL dilihat menutup pintu masuk bazar berkenaan tepat 10 malam meskipun masih ada pengunjung beratur untuk masuk ke dalam bazar itu.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/05/704321/lelonglelong